Pages

Friday, May 31, 2019

Uwais Al-Qarni : Femes Kerana Bakti


Bismillahirrahmanirrahim...

Salam 'alaik geng! Anda semua sihat? Soooo, this is the second time saya nak soksek-soksek. Hmm, berdasarkan tajuk post kali ni, saya nak cerita serba sikit la pasal sosok hebat bernama Uwais Al-Qarni ni. Suka saya nak cerita pasal beliau ni sebab saya rasa situasi beliau ni dekaaatt sangat dengan ceritera hidup saya ecewahhh. Banyak yang saya boleh kaitkan dengan kehidupan saya, banyak yang boleh diteladani dan diambil iktibar. Haaa nak tau ape? Please do keep on reading~

Uwais Al-Qarni ni hebat, beliau tak pernah jumpa Nabi Muhammad S.A.W. tapi Baginda S.A.W. kenal beliau. Uwais Al-Qarni ni hebat, beliau tak popular dalam kalangan penduduk bumi tapi femes dalam kalangan penduduk langit sana ala-ala biskut famous amos tuu. Ehh. Uwais Al-Qarni ni hebat, hinggakan Nabi S.A.W. pesan untuk cari beliau dan minta beliau mendoakan para sahabat. Dan Uwais Al-Qarni ni hebat, sebab baktinya kepada ibu tercinta memang tiada tara!

Ewahh panjang pulak membebel yee. Sabor, sabor.. itu hanya intro saje hehehe (tapi macam dah cerita habis pulak kan? Aduhh spoil!) Okok sambung.. Al-kisahnya tentang Uwais ni, beliau tak pernah walau sekali pun duduk hampir dengan Rasulullah S.A.W., apatah lagi bersua muka dengan Baginda. Hidupnya sebagai seorang fakir, menghidapi penyakit sopak, tinggal pula hanya dengan si ibu yang sudah tua dan tiada upaya, segala khidmat baktinya dicurahkan buat si ibu. Ya, Uwais Al-Qarni adalah seorang anak yang sangat soleh, anak yang sangat taat kepada ibunya dan anak yang sanggup berkorban apa saja asalkan si ibu gembira. Hebat, bukan?

Saya pun tak tau la secara terperinci apa yang Uwais Al-Qarni ni lakukan, tapi saya boleh ceritakan kisah beliau yang selalu disebut-sebutkan. Okay bayangkan anda berada di tanah Arab, di sebuah kawasan berpasir, angin bertiup shiu shiuu sampai habuk masuk mata, dengan panas terik mentari yang seakan-akan suka membuat manusia merasakan haba, atau mungkin nak test power dapat mengeluarkan cahaya. Tiba-tiba anda terlihat seorang lelaki sedang mendaki bukit. Okay, mungkin tak pelik sangat, tapi yang peliknya adalah lelaki tersebut sedang mengangkat seekor anak lembu, naik turun bukit itu berkali-kali. Errr, dah kenapa ni? Nak test power jugak ke? 

*tarik lengan baju*

Haaa apa sangkaan anda sekiranya anda melihat situasi tersebut? Elehhh ngaku je la korang kata dia gila kan?? Ya, itu lah yang dirasakan penduduk Yaman saat itu, tatkala mereka melihat Uwais Al-Qarni mengangkat seekor anak lembu naik dan turun bukit berkali-kali. Bukan sehari beliau melakukannya, malah berbulan-bulan! Malah apabila lembu tersebut telah menjadi dewasa, Uwais tetap dengan aktiviti hariannya. Haduiii amalan apakah ini?

Tapi, apa yang membuatkan Uwais Al-Qarni bertindak sedemikian rupa? Jawapannya adalah, bermula saat ibunya menyampaikan hasrat hati ingin menunaikan haji. Menyedari hakikat ibunya telahpun uzur, Uwais tahu impian tersebut tidak dapat dijadikan realiti. Namun, nak seribu daya, tak nak seribu dalih kan? Ecewahh. Uwais tahu satu-satunya cara untuk menunaikan hajat ibunya adalah dengan beliau sendiri yang akan mengangkat ibunya sepanjang melakukan ibadah haji. Yelaa, zaman tu mana ada lagi alat bantuan buat jemaah haji yang kurang berupaya. Nak pergi ke Mekah pun diorang masih lagi naik unta tauu. Uwais tahu hakikat dirinya yang miskin, tidak mampu untuk membeli seekor unta. Jadi, bagaimana beliau nak tunaikan hasrat ibunya? Haaaa Uwais pun mula membuka planning paper saiz A1, buat strategi ala-ala movie perang (ok ni gurau je, jangan la serious sangat), beliau membuat keputusan untuk melatih kekuatan fizikal beliau. Bak kata pepatah Inggerisss, "Practice makes perfect!"

Uwais Al-Qarni bukanlah seorang yang dikenali dan disanjung tinggi dalam kalangan penduduk Yaman ketika itu. Jadi, perlakuan beliau seperti itu menambahkan lagi cemuhan masyarakat kepadanya. Kata-kata hina yang dilontarkan kepada beliau itu sudah dianggap alah bisa tegal biasa. Dibiarkan begitu saja~~ *masuk muzik latar nyanyian Haqiem Rosli* 

Uwais tetap dengan pendiriannya melakukan aksi itu tanpa henti, sehinggalah tibanya musim haji. And guess what? Uwais Al-Qarni berjaya menunaikan ibadah haji bersama ibunya yang tercinta! Yup, beliau berjaya mengangkat ibunya sepanjang melakukan haji, hasil daripada praktis moving gym  beliau tanpa henti. 

Semata-mata nak tunaikan hajat ibunya, beliau sanggup digelar sebagai orang kurang siuman, beliau sanggup mengorbankan masa dan tenaga. Ya, demi penentu syurganya! 

*lap air mata terharu*

Saat berada di hadapan Kaabah, Uwais Al-Qarni yang sedang mengangkat ibunya berdoa kepada Allah Azza wa Jalla, "Ya Allah, ampunkanlah dosa ibuku."

"Kalau begitu, bagaimana dengan kamu wahai anakku?" tanya ibu Uwais.

"Apabila Allah mengampunkan dosa ibu, ibu akan masuk ke dalam syurga. Maka untuk aku, cukuplah buatku redha daripadamu untuk memasukkan aku ke dalam syurga."

Pehhh anak soleh idaman ibu bapa nihhh.. Terkedu aku dengar jawapan daripada Uwais Al-Qarni. Korang rasa tak apa yang aku rasa?

Kejap, kejap. Minum air duluu.. 
Okay sambung.

Macam yang aku cakap tadi, Uwais Al-Qarni tak pernah berjumpa dengan Nabi S.A.W.. Bukan tak pernah memasang impian, tapi peng'aula'an (baca : pengutamaan) buat si ibu tetap menjadi pilihan. Jadi, rezeki menunaikan haji dianggap sebagai peluang keemasan untuk bertemu dengan Kekasih Ilahi.

Bila sampai di Madinah, Uwais mencari-cari waktu untuk ziarah ke rumah Nabi S.A.W.. Sampai saja Uwais di rumah Baginda S.A.W., beliau pun mengetuk pintu dan memberi salam, sambil hatinya berdebar menunggu saat yang dinantikan. Dup dap dup dapp, jantung beliau mula bertindak agresif dengan mengepam darah dengan kadar yang lebih laju daripada biasa, sebagai tindak balas kepada hormon adrenalin yang dibebaskan. 

Dengan tidak disangka-sangka, pintu itu pun dibuka, namun wajah yang menyambutnya bukanlah wajah yang diharapkan. Uwais terus bertanya jika Baginda S.A.W. ada di rumah atau tidak. Dan jawapan yang diberikan turut mendukacitakan, kerana ketika itu Baginda S.A.W. berada di medan peperangan. Beliau hanya bertemu dengan isteri Nabi S.A.W., Saidatina Aisyah R.A.. Pada asalnya, beliau ingin menunggu kepulangan Rasulullah S.A.W.. Hmm, rasanya kebanyakan orang yang mengalami situasi seperti ini mesti akan mengambil keputusan yang sama. Wehhh mestilahhh! Dah la jarang dapat peluang jumpa Nabi S.A.W., so bila dah dapat peluang ni, tunggu sekejap pun no hal lahhh. Mana taknya, takut-takut lepas ni tak dapat dah peluang macam ni. So ada baiknya kita tunggu kejap. Kan kan kann?

Errr tapi si Uwais ni end up tak ambil keputusan yang sama macam kita pun. (Haaaa sudahh) Sebab apa? Kerana beliau teringatkan pesan si ibu untuk kembali ke Yaman dengan segera memandangkan si ibu tak larat sangat. I can tell you, this is a very hard moment for him, kan? Antara keinginan hati atau hajat ibu. Yes, of course la beliau akan pilih ibunya, walau hati agak kecewa tak dapat berjumpa dengan Nabi S.A.W.. Ni pilihan Uwais Al-Qarni, kalau kita? Bercampur dengan alasan kita tadi, tambah pulak dengan bisikan-bisikan penuh pujukan daripada hati "alahhh, takpe ni boleh tunggu kejap. Ibu mesti faham punya. Dah lama kot aku tunggu peluang ni. Ni lah satu-satunya impian aku dari dulu lagi. Ibu mesti faham punyaa."

Ehh saya dah bagi contoh yang tak baik ke ni? Maaf, maaf. Adegan tadi bukan untuk dicontohi yee. Kalau nak ikut, ikut macam mana Uwais buat heheheh..*muka innocent

Berkat hebatnya khidmat bakti Uwais kepada ibunya, Allah S.W.T. telah menyembuhkan penyakit sopak beliau, tetapi tetap meninggalkan kesan di tapak tangannya, dan ada juga setengah pendapat di lehernya. Untuk apa? Untuk dijadikan rujukan sahabat bagi mengenalpasti siapa Uwais Al-Qarni. Walaupun kebiasaannya kita tidak akan berasa pelik jika parut itu tidak hilang, tapi parut itu pun ada hikmahnya untuk ditinggalkan. Bila Rasulullah S.A.W. pulang dari medan perang, Rasulullah S.A.W. bertanyakan jika ada sesiapa yang mencarinya. Dan kemudian Rasulullah S.A.W. menceritakan tentang Uwais Al-Qarni, seakan-akan Rasulullah S.A.W. tahu bahawa memang beliau yang datang mecari Nabi S.A.W.. Rasulullah S.A.W. berpesan kepada para sahabat untuk mencari Uwais Al-Qarni yang berasal dari Yaman, dengan hanya berpandukan parut daripada sakitnya. Apabila sudah menjumpainya, maka mintalah dia untuk mendoakan mereka kerana dia adalah penghuni langit, bukan penghuni bumi.

Misi mencari Uwais dilakukan oleh Saidina Umar ketika zaman pemerintahannya, kerana beliau teringatkan pesan Rasulullah S.A.W.. Setiap pedagang yang datang dari Yaman akan dicari oleh Saidina Umar dan beberapa orang sahabat. Kebetulan waktu itu, Uwais sudahpun menyertai para pedagang untuk berdagang sebagai pekerjaannya memandangkan ibunya sudahpun tiada. Namun setelah beberapa kali sahabat cuba mencari Uwais, mereka tetap menemui kegagalan. 

Hinggalah satu hari, rombongan para pedagang tiba di Madinah. Saidina Umar dan sahabat-sahabat, seperti biasa cuba mencari rombongan daripada Yaman. Setelah menemukan pedagang daripada Yaman, mereka diberitahu bahawa Uwais ada bersama rombongan mereka. Jadi, para sahabat pun terus mencari Uwais yang sedang menjaga kambing. Apabila mereka bersalaman, para sahabat ternampak kesan parut pada tangannya. Mereka terus meyakini bahawa itu adalah Uwais al-Qarni. Namun, apabila ditanya namanya, Uwais menjawab "Abdullah" (baca : hamba Allah). Sahabat tergelak mendengar jawapan Uwais, kerana mereka juga adalah Abdullah. Kemudian barulah Uwais memberitahu namanya yang sebenar.

Gembira kerana pencarian mereka telah berjaya, para sahabat terus meminta Uwais untuk mendoakan mereka, atas nasihat daripada Rasulullah S.A.W. Fuhhhh bayangkan perasaan Uwais waktu itu, bukan calang-calang orang yang meminta doa daripadanya. Tu sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. tuuu, bahkan ada Khalifah Umar pulak tu! Perasaan rendah diri muncul dalam diri Uwais, lalu beliau mengatakan bahawa merekalah yang sepatutnya mendoakannya. Tetapi setelah diceritakan berkenaan pesan Rasulullah S.A.W., barulah Uwais berdoa buat mereka. 

Ada juga diceritakan bahawa Saidina Umar mempelawa Uwais al-Qarni untuk diberikan harta, tetapi ditolak baik oleh Uwais al-Qarni. Beliau juga meminta agar berita tentangnya dirahsiakan, beliau hanya mahu menjadi seorang Uwais yang tetap fakir. Allahu, bayangkan kalau kta di tempatnya. Peluang keemasan untuk mengubah hidup ke arah yang lebih baik sudah ada di depan mata, tinggal hendak diambil sahaja. Bayangkan la, sudah seumur hidup kita hidup dalam kesusahan, tiba-tiba sang pemerintah datang kepada kita dan menawarkan kehidupan yang senang, sudah semestinya kita akan menerima tanpa perlu ditanya hahaha. Tapi lain pula Si Uwais ni, beliau bahkan memilih yang sebaliknya. Kerana apa? Kerana beliau tidak memandang kehidupan yang senang itu sebagai punca kebahagiaannya, tetapi hanya redha Ilahi yang selalu dicari. Beliau tidak kisah hidup susah, asalkan beliau tidak lari daripada matlamat hidupnya di muka bumi. Ya, beliau semestinya bukan penduduk bumi, kerana yang difikirkannya adalah hidup di sana nanti.

*tutup muka, malu dengan diri sendiri*

Okay, boleh tutup dah buku cerita ni. Ehh kejap, kejap. Ada lagi rupanya hehehe. Duduk dulu, duduk dulu.

Kisah tentang Uwais al-Qarni turut hangat saat kematiannya. Uwais yang kita kenal sebagai orang yang hidup sendirian, tidak punya kawan, tapi siapa sangka, kematiannya boleh menggemparkan penduduk bumi. Ramai orang berebut-rebut hendak mandikan jenazahnya, begitu juga solatkan jenazahnya. Bersesak-sesak orang yang hadir pada hari pengebumian jenazah Uwais. Bayangkanlah, Uwais yang tidak dikenali, yang tidak punya keluarga, harta, pangkat dan nama, boleh menerima kunjungan yang sebegitu ramai. Ini menjemput Encik Hairan bertandang di minda penduduk Yaman melihat ramainya orang yang hadir untuk mengebumikan jenazah, orang yang tidak pernah mereka ihat sebelum ini. Haaaa, pelik, bukan? Mungkinkah Uwais sebenarnya memang mempunyai ramai kenalan yang tinggal jauh darinya, atau mungkin juga benar yang dikatakan sesetengah orang bahawa itu adalah para malaikat? Wallahua'lam, saya pun tidak mampu untuk memberikan skema jawapannya.

And now, it's time to spill some tea. Bersedia dengan kain lap di sisi anda!

Aku sangat memerlukan contoh teladan seperti ini, lebih-lebih lagi bila mak aku disahkan menghidapi penyakit kanser. Selepas menerima rawatan chemotherapy, kesan yang mak aku hadapi sangatlah tidak menyenangkan-yang memerlukan pemerhatian dan penjagaan yang rapi oleh seseorang. Disebabkan ahli keluarga aku yang lain semua bekerja, aku yang paling sesuai untuk mengambil tugas mulia ini. Dengan itu, aku membuat keputusan untuk berhenti belajar, dan fokus untuk menjaga mak aku.

Itu adalah keputusan yang sangat sukar untuk dilakukan, kerana aku dari kecil lagi mempunyai impian untuk belajar tinggi setinggi Gunung Everest. Tidak pernah aku sangka, ini yang akan aku alami. Dari sekolah lagi, aku dah buat planning tentang masa depan aku. Aku suka study life aku, tak pernah pun aku terfikir untuk berhenti belajar. Tapi, Allah lebih tahu, dan Allah jualah sebaik-baik perancang.

Aku sedapkan hati aku dengan mengatakan ini tugas yang mulia. Tak semua orang dapat peluang keemasan ini. Orang pertama yang aku ceritakan keputusan aku ialah sahabat baik aku. Tapi, respon daripada dia adalah sesuatu yang tidak aku jangkakan. Aku fikir, benda pertama yang dia akan katakan pada aku adalah dia sedih dengan keputusanku (ini kerana kami belajar di universiti yang sama). Tapi, sebaliknya yang berlaku apabila dia mengatakan bahawa dia kagum dengan keputusan yang aku ambil. Pada awalnya, aku hairan dengan jawapan yang diberi, tapi dia terus-menerus memberikan kata-kata semangat, yang akhirnya membuatkan aku lebih yakin dengan keputusan yang aku buat. Jujur, aku bersyukur sebab Allah hantar dia kepadaku. Dia berikan "kaca mata" padaku di saat aku pandang takdir Allah dengan mata yang kabur. Walau dia tetap menyatakan yang dia sedih kerana tidak dapat tamatkan pengajian sama-sama, dia tetap menyokong keputusan yang aku ambil.

Tapi, tipulah jika aku mengatakan hati aku gembira sentiasa dengan apa yang aku hadapi (aku belum setabah Uwais lagi hahaha). Dengan kondisi mak aku yang tidak memberangsangkan, ditambah juga dengan perbandingan kehidupan yang aku sendiri wujudkan antara aku dengan rakan-rakan sebayaku, semangat aku mula merudum. Aku mula ragu-ragu dengan keputusan yang aku ambil. Bukan sekali, bukan dua kali, malah berkali-kali perasaan itu hadir tanpa aku pinta.

Dan inilah masa yang ditunggu-tunggu untuk aku refresh semula ingatanku akan sosok hebat, Uwais Al-Qarni. Waktu inilah minda aku mula mengimbau pengorbanan Uwais kepada ibunya. Dan waktu inilah hatiku mula membisikkan suara-suara pujukan untukku teruskan perjuangan. Setiap kali tersungkur, maka setiap kali itulah kisah ini memainkan peranan. Wallahi, Uwais Al-Qarni benar-benar bantu aku untuk kuatkan diri aku.

Aku ingin jadi sepertinya, aku ingin menjadi penghuni langit!

Saya harap kisah ini dapat memberikan anda semangat juga dalam berbakti kepada ibu bapa anda. Saya tidak tahu bagaimana situasi anda, namun saya yakin anda jauh lebih hebat baktinya kepada ibu bapa anda. 

Saya nak ambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan sahabat-sahabat yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan mak saya, memberikan kata-kata semangat kepada saya, juga menziarahi kami sekeluarga. Saya doakan kita semua menjadi anak-anak yang soleh dan solehah, yang boleh membuatkan ibu tersenyum kerana melahirkan kita, bapa berbangga kerana membesarkan kita!

Uwais membuktikan, untuk menjadi hambaNya yang terbaik, tidak semestinya perlu berdamping dengan Rasulullah S.A.W., tidak semestinya perlu menjadi orang-orang ternama, tidak semestinya perlu menjadi orang kaya. Cukuplah dengan redha ibu bapa, kita akan menjadi insan yang mulia!

Itu sahaja perkongsian kali ini. Maaf kerana meminjam telinga anda buat masa yang lama. Dan terima kasih kerana sudi membaca surat cinta saya yang tidak seberapa ini. Jika ada apa-apa yang ingin diperkatakan, sudilah mengirim burung merpati itu semula ya.. Salam 'alaik, geng!













No comments:

Post a Comment