Salam ‘alaik, geng! Sihatkah kalian? Moga kalian sentiasa berada dalam rahmat dan kasih sayang Sang Maha Pengasih. Musim Covid-19 ni, aku yakin semuanya lebih meningkatkan tahap kebersihan diri. Jadi, inilah masanya untuk challenge diri kita kekal berwudhuk sepanjang hari. Alang-alang dah basuh tangan selalu, baik terus ambil wudhuk, betul tak? *emoji tangan keluar otot sambil kenyit mata
Uihh tak pasal-pasal tazkirah di perenggan intro hahaha..
Lama aku tidak berceloteh, harapnya kalian sudi mendengar luahan aku kali ini.
Tahun 2020.
Tahun yang banyak menguji aku, bahkan kami sekeluarga.
Belum pun sampai pertengahan tahun, tapi sudah pelbagai coretan hidup yang boleh aku pelajari setakat ini, alhamdulillah..
Sungguh tidak aku sangka, bertubi-tubi ujian datang menerpa. Jika diflashback semula ke hujung tahun 2019, aku menyangka 2020 akan berjalan normal seperti tahun-tahun sebelumnya. Bukanlah tidak diuji, tetapi mungkin tidaklah sedrastik ini.
Dari awal tahun lagi, ada saja kejutan yang diterima. Heh heh, aku yakin bukan aku seorang yang merasakan sedemikian, pasti kalian juga tidak lari daripada ujian kehidupan. Benarlah kata orang, ujian dan kehidupan tidak dapat dipisahkan.
“Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.”
(Surah Al-Anbiya’, ayat 35)
Pernah satu waktu, di saat-saat sedang diuji, terdetik di hati aku,
“Beratnya ujian kali ni. Lebih aku rela kalau Allah menguji aku dengan ujian yang sebelum ini.”
“Kalaulah diuji dengan cara lain, pasti aku lebih kuat menghadapinya.”
Konon je la semua tu.
Sekali bila Allah menguji semula dengan ujian yang dirasakan mudah, hati aku tetap mengeluh dengan beratnya ujian yang diberi, tidak pula menjadi kuat seperti yang disangka aku tadi. Kelakar pula dengan diri sendiri, betapa manusia ni sebenarnya suka cakap ikut sedap hati. (Okay aku je la kot yang selalu macam tu hahaha)
Ujian, tetap akan menerpa manusia. Setiap kali diuji, manusia merasa dunianya gelap, hatinya sesak, jiwanya resah, sedihnya bagai tidak kenal erti bahagia. Sekalipun dia seorang ahli gusti, bila Allah menguji, hatinya lemah mengalahkan bayi.
Hingga hidup kita menjadi sebati dengan prinsip, “UJIAN ITU BEBANAN”.
Kita memerlukan sokongan. Kita tercari-cari bantuan. Kita mahukan tempat pergantungan.
Aku mengerti itu, kerana aku juga melaluinya.
Lalu aku bertanya kepada diri, kenapa sebenarnya Allah SWT menjadikan ujian? Setahu aku, jauh sekali Allah SWT mahu menyeksa dan membebankan hambaNya, apatah lagi menzalimi kita. Tapi dengan ujian yang membuatkan manusia berduka, apakah tujuan sebenar ujian itu diberikan?
Manusia sering menasihati, “sabarlah duhai hati”.
Nahhh, kita sendiri tahu bahawa sabar sahaja tidak mencukupi.
Manusia perlukan lebih lagi!
Memang benar, sabar itu perlu kita wujudkan apabila diuji. Bahkan Allah merekodkan dalam Al-Quran betapa ujian perlu disertakan dengan sabar supaya kita beroleh kebaikan.
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:”
(Surah Al-Baqarah, ayat 155)
Tetapi, sekadar bersabar tetapi tidak mengerti, apakah manusia akan dapat bersabar? Dapatkah manusia mengecapi keindahan sabar yang sebenar?
FAHAM SEBELUM SABAR
“(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
(Surah Al-Baqarah, ayat 156)
Ayat di atas merupakan sambungan daripada ayat sebelum ini. Allah SWT memperincikan ciri-ciri yang dimaksudkan dengan orang yang bersabar.
...mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
Mereka yang bersabar ini memahami dan menyedari bahawa segala apa yang mereka miliki bukanlah hak milik sendiri, tetapi milik Dia Yang Kekal Abadi.
Saat diuji, waktu inilah yang selalunya manusia akan berhenti sejenak dan bermuhasabah diri, termasuklah orang yang sedang berkata-kata ni. Aku termenung memikirkan hakikat kehidupan. Dengan diberikan ujian, aku sedar betapa lemahnya aku sebagai si hamba yang hina, yang tidak punya apa-apa.
Aku menyedari bahawa Allah SWT itu adalah sebaik-baik tempat kembali, juga sebaik-baik tempat pergantungan. Ujian itu datang dariNya, maka semestinya Allah SWT menyediakan solusinya juga, bukan?
FAHAM BAHAWA UJIAN ITU KEBAIKAN
Rasulullah SAW bersabda:
"Sungguh ajaib keadaan orang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiada yang memperoleh keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu, dia bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya"
(HR Muslim)
Urghhh I really love this hadith!
Cehh tiberr.
Kata-kata Rasulullah SAW ini menjadi pembuktian bahawa semua yang Allah SWT takdirkan kepada kita – baik nikmat mahupun ujian – adalah kebaikan untuk kita. Namun, semua ini adalah bergantung kepada mindset kita juga, bagaimana cara penerimaan kita terhadap perkara yang berlaku dalam kehidupan kita.
Logik akal manusia akan menganggap perkara buruk sebagai sesuatu yang buruk la kan? Musibah, kesusahan, kesakitan, kesedihan ; semua ini akan tergolong dalam perkara-perkara yang negatif. Asalnya la.
Disebabkan itulah Rasulullah SAW mengatakan betapa mukmin ini ajaib (bukan bererti anda layak memasuki Hogwarts kerana mempunyai kuasa ajaib seperti Harry Potter ya, karang tak pasal-pasal semua sebut “expecto patronum!” lepas habis baca ni pula hahaha), kerana berjaya menukarkan sesuatu yang negatif kepada positif, sekaligus berjaya keluar daripada logik akal manusia biasa.
Kerana kita manusia yang beriman (baca : percaya). Kita meyakini bahawa apa yang Allah SWT berikan kepada kita tak lain tak bukan adalah kebaikan untuk kita.
“Tapi kenapa berlaku jugak sesuatu yang buruk kepada kita?”
Kerana....
Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah telah berfirman:
“Aku selalu mengikuti sangkaan hambaKu, dan Aku selalu menyertai dia di mana ia ingat kepadaKu. Demi Allah, sungguh Allah lebih senang menerima taubat hambaNya dari seorang yang mendapat kembali barangnya yang hilang. Dan barangsiapa yang mendekat kepadaku sejengkal, aku mendekat kepadanya sehasta. Dan siapa yang mendekat kepadaku sehasta, Aku mendekat kepadanya sedepa. Dan bila ia datang kepadaku berjalan, Aku datang kepadanya dengan berjalan cepat.”
(HR. Bukhari dan Muslim)
It’s all about mindset, guys, all about mindset..
SAHABAT MENEMANI TATKALA DIUJI
Salah satu nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada aku di sepanjang jalan ujian ini adalah sahabat yang setia di sisi. Aku tidak mahu kecilkan skop ini hanya kepada kawan – zaman tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, kawan universiti, kawan kerja, kawan jumpa tepi jalan – tetapi apa-apa sahaja hubungan yang dijalinkan lillahi ta’ala (kerana Allah ta’ala).
Apa yang aku belajar daripada novel Sinergi, karya Hilal Asyraf, novel ini berjaya mencerahkan lagi pandangan aku dengan makna ukhuwah fillah, yang mana hubungan ini bukan hanya sekadar meniti di bibir sahaja, malah dibuktikan dalam perbuatan. Hasil daripada hubungan itu, timbullah energi yang Allah SWT salurkan melalui mereka-mereka yang berhubungan keranaNya.
*Recommended untuk dibaca bagi lebih memahami (cehh sempat promote tu!)
Pentingnya figura-figura sahabat dalam kita meniti kehidupan yang penuh ujian. Hubungan kerana Allah ta’ala ini, sentiasa akan saling mengingatkan kepada Rabbul Izzati, sekaligus membangkitkan diri saat diuji. Bukan hanya setia di sisi untuk memberikan sokongan, bahkan doa daripada mereka menambahkan lagi kekuatan.
Daripada Safwan bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Doa seseorang muslim untuk saudaranya secara berjauhan (tanpa pengetahuannya) adalah mustajab. Di kepalanya (yang berdoa) terdapat malaikat yang diwakilkan kepadanya, setiap kali dia berdoa kepada saudaranya dengan kebaikan maka malaikat yang diwakilkan itu akan berkata: Amin dan bagi engkau seperti itu juga (sama seperti apa yang didoakan itu)”.
(Riwayat Muslim)
Kehadiran mereka sahaja sudah cukup mewujudkan kekuatan dengan cara yang hanya Allah SWT mengetahuinya. Mereka ini adalah sesiapa sahaja, baik keluarga, baik kawan, baik guru mahupun orang yang baru sahaja berkenalan. Bilamana jalinan itu adalah kerana Allah SWT, maka hubungan itu akan menjadi unik, menyebarkan kebaikan dan kasih sayang yang suci. Tidak seperti hubungan yang bukan berlandaskan keimanan kepadaNya.
Matlamat mereka mahu ke syurga.
Bukan seorang diri, tapi bersama-sama.
Maka, dengan bersahabat, ujian itu bakal menjadi penguat.
Oh, indahnya ukhuwah keranaNya!
KENAPA ALLAH MENGUJI?
Bagi aku, ujian bukan melemahkan, bahkan menguatkan. Kenapa aku mengatakan begitu?
Firman Allah ta’ala,
“Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.”
(Surah Al-Kahfi, ayat 7)
Kehidupan di dunia adalah untuk menguji manusia. Kita diciptakan di muka bumi adalah untuk diuji keimanan kita. Pantaskah kita mengharapkan kehidupan yang bergoyang kaki di atas sofa empuk atau berjimba sana-sini tanpa diuji?
Dunia adalah tempat menuai, yang mana hasil tuaiannya akan kita nikmati nanti di akhirat yang kekal abadi. Seperti yang Allah SWT katakan dalam ayat di atas, “kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.”, jelas menunjukkan betapa ujian diberikan supaya kita boleh membuat tuaian (baca : melakukan kebaikan) daripada apa yang berlaku dalam hidup kita.
Jika ujian itu adalah untuk memberikan kebaikan, pastinya ujian menghasilkan kekuatan, takkan melemahkan pula ye dok?
NIKMAT DI SEBALIK UJIAN
Selepas mendungnya hujan, pasti akan bersinar matahari.
Tiap kali menjelang kegelapan malam, pasti akan terbit mentari pagi.
Begitu juga di setiap kedukaan, pasti akan terselit kebahagiaan.
Disarankan untuk kita melihat banyaknya lagi nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada kita berbanding ujian yang dihadiahkan. Jangan gunakan kanta pembesar untuk melihat besarnya masalah, tapi gunakanlah lensa luas untuk melihat luasnya lagi hikmah.
Percayalah, Allah SWT tidak pernah kejam kepada hambaNya. Pasti adanya nikmat dan kemudahan yang Allah SWT selitkan di celah-celah ujian kita. Apabila kita menjumpainya, pasti kita akan merasa Maha Baiknya Allah SWT kepada kita, bahkan malu atas keluhan dan rungutan kita sebelum ini.
Besar ujian kita, besar lagi nikmat dariNya.
Banyak dosa kita, luas lagi pengampunanNya.
Yakinlah dengan janji Allah SWT,
“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,”
“(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”
(Surah Asy-Syarh, ayat 5-6)
Haihh mata masuk habuk pulak..
HAKIKAT UJIAN ITU MENGUATKAN
Kita ada pilihan. Sama ada mahu memandang ujian sebagai kasih sayang daripada Allah SWT, atau bebanan semata-mata.
Ujian itu ibarat ubat. Ia menyembuhkan manusia tetapi bukanlah menjadi sesuatu yang digemari mereka. Ubat itu pahit, tetapi penawar. Mereka yang menyedari hakikat ini akan cuba memandang ubat sebagai kebaikan, bukanlah keburukan. Mereka akan cuba menguatkan diri bagi mendapatkan manfaat dengan memakan ubat tersebut, tenang menelan pahitnya ubat.
Tetapi mereka yang hanya merungut akan merasakan ubat sebagai sesuatu yang membebankan. Mereka hanya melihat positifnya ubat jika pulihnya dalam sekelip mata. Tetapi jika tidak, mereka akan merasakan ubat adalah sesuatu yang menyeksakan.
Begitu juga dengan ujian. Jika apa yang dilakukan oleh seorang hamba apabila diuji, hanyalah merungut dan semakin terpesong, tidak memikirkan hikmah atau mencari kebaikan daripada semua ini, maka tidak hairanlah jika ujian itu menjadi bebanan kepadanya.
Manakala jika seorang hamba itu mengembalikan dirinya kepada Allah SWT apabila diuji, lebih merasakan kebesaran Tuhan sekalian alam, berusaha memperbaiki diri lebih-lebih lagi di saat merasa susah hati, dia semestinya akan melihat ujian ini sebagai satu kebaikan. Kerana apa? Kerana ujian yang menimpanya menjadikannya hamba yang lebih baik, dan mendekatkan lagi dirinya dengan Tuhan Yang Maha Esa.
Dari situ, dia dapat melihat ujian dengan kaca mata yang berbeza.
Dia akan lebih bersedia apabila kemudiannya dia diuji lagi. Kerana dia meyakini, ujian itu memberi kebaikan kepada diri.
Namun, kesedihan dan tangisan tetap akan menjadi teman sejati saat diuji. Kerana manusia tetaplah seorang hamba, dan memerlukan kekuatan daripada Tuhannya.
Tapi, jangan khuatir. Dengan adanya doa daripada diri sendiri dan sahabat-sahabat sejati, juga usaha untuk memperbaiki diri, pastilah Allah SWT akan membantu kita. Biarpun kita mungkin tidak melihat hasilnya di sini, pastinya Allah SWT akan tunjukkan di sana nanti.
Bukankah kita seorang petani di dunia ini? *kenyit mata
Pentingnya kita memahami hakikat ujian itu menguatkan. Dengan memahami, barulah kita dapat bersabar tanpa henti.
Aku juga sedang cuba membetulkan kaca mata sendiri. Cuba melihat hadirnya ujian akan menguatkan lagi diri dan meningkatkan lagi iman di hati.
Moga satu hari nanti, tatkala ujian menerpa diri, hati ini akan berkata,
“Ya Allah, terima kasih untuk ujian ini. Sungguh aku dapat merasakan kehadiranMu dan keberadaanMu yang tersangat hampir denganku saat ini! Moga aku redha dengan ujian ini dan Engkau juga redha dengan diri ini!”
Eh hujan ke ni? Kenapa pipi basah? *muka cover malu
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.”
(Surah Al-Baqarah, ayat 186)
Sungguh,
Allah SWT itu dekat, dan tak pernah meninggalkan! :)
.
.
.
P/S : Selamat menjalani ibadah puasa! Marhaban ya Ramadhan!