Pages

About Me

Awalnya malas untuk aku perkenalkan diri aku. Tapi risau pula jika kalian menganggap aku adalah palsu, jadi ada baiknya aku beritahu serba-sedikit tentang diri aku. 

Seorang perempuan.
Usia di awal 20-an.
Tinggal di kawasan Perak.
Pendidikan sehingga SPM, diploma tak dapat nak habiskan, berhenti di pertengahan jalan.
Bekerja sendiri bersama keluarga.

Lagi? Ada apa-apa mahu tahu? Hmmm rasanya itu sahaja mungkin.

Kenapa aku memilih untuk menulis?

Sejujurnya, aku bukanlah mahir sangat menulis, tidak juga gemar sangat menulis. Kalau dulu di sekolah, jika ada kerja sekolah yang melibatkan penulisan akan menjadi pilihan terakhirku untuk disiapkan. Haaa pelik kan? Boleh pula aku memilih untuk menulis sekarang.

Semuanya bermula semasa di zaman diploma. Aku menyertai sebuah persatuan di kampus. Persatuan itu pula telah mengamanahkan aku dalam unit kajian dan penulisan. Dan telah menjadi budaya persatuan itu untuk ahlinya melatih diri dalam menulis. Asalnya aku hanya menulis atas tujuan amanah, lagi-lagi dengan aku yang tak berapa minat menulis, sememangnya akan melakukan yang wajib sahaja. Hahaha! *gelak jahat

Indah aturan Allah SWT apabila aku ditakdirkan untuk menamatkan pengajian diploma. Apabila sudah tidak terikat dengan amanah dari persatuan, hidup pula tidak lagi bersama sahabat-sahabat yang sentiasa mengingatkan diri. Lama-kelamaan aku risau aku semakin tersasar. Selalu aku bertanya kepada diri, apa tujuan aku dihidupkan? Aku tidak mahu hidup hanya sekadar melalui norma kehidupan. Aku yakin, Allah SWT menghantar kita di sini dengan sebab, bukan semata-mata makan, minum, tidur, kerja dan sebagainya. Aku tahu, manusia diciptakan sebagai khalifah. Tetapi apa yang aku mampu buat bagi merealisasikan perkataan khalifah itu sendiri?

Aku teringat pesanan yang Ayah selalu titipkan, “Jadilah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain.” Bagi menjaga diri aku daripada tersasar dari landasan yang sebelum ni aku pilih, aku cuba disiplinkan diri aku dengan mendengar ceramah-ceramah dan pembacaan buku-buku. 

Berdasarkan nasihat yang diberi oleh Ayah, aku tahu aku tak patut menyimpannya hanya untuk diri sendiri. Aku mahu kalian sama-sama memahami apa yang aku fahami.

Aku terfikir, 
“Apa yang aku boleh buat untuk memberi manfaat?
Tiada apa pun yang luar biasa pada diri aku.
Aku pun bukanlah hartawan untuk menginfakkan harta aku.

Tiba-tiba aku teringatkan apa yang aku buat di kampus dahulumenulis. Hmmmm, macam relevan. (Oh, terima kasih sahabat-sahabat!)

Namun, ilmu aku tidaklah banyak, aku hanya berkongsi apa yang aku rasakan bermanfaat. Dan jauh dari niat asal aku untuk berblogging atas tujuan kewangan (hmm sebenarnya aku tak tahu pun cara menjana pendapatan melalui blog, dan masih tidak berminat untuk tahu hehehe). Buat masa sekarang, keperluan aku masih cukup dengan apa yang Allah rezekikan kepada aku di dunia nyata. Jadi aku menulis di sini bukanlah untuk mendapatkan populariti mahupun wang ringgit, tapi hanyalah ingin menyahut seruan bagi menjadi manusia yang bermanfaat. (Tapi wallahua’lam, tak tahulah akan datang, yang mana aku memerlukan wang atau tiba-tiba blogging menjadi pekerjaan utamaku hehehe).

Mohon doa kalian untuk aku! :)




No comments:

Post a Comment