Pages

Monday, January 27, 2020

POSTO TO FARHAH!

Salam ‘alaik, geng! Kali ini, aku tidak mahu membuat sebarang perkongsian pun. Jadi aku ingin berpesan awal-awal supaya kalian tidak membuat apa-apa harapan yang tinggi untuk entri kali ini ya! *kenyit mata

Oh ya! Entri kali ini akan menjadi sedikit peribadi, tapi hmmm sekali-sekala apa salahnya kan? Hehehhee.. 

25 JANUARI


Kelmarin merupakan hari kelahiran salah seorang sahabat yang aku sayang. Kami baru berkenalan pada tahun Januari 2018, sempat juga menyambut hari kelahirannya waktu itu, walaupun baru sahaja berkenalan. Kali ini, aku terasa ingin membuat kelainan sedikit bersempena hari kelahirannya. Jadi, entri kali ini ditujukan khas buatnya!

NURUL FARHAH BINTI MOHD ANUAR

Cahaya kegembiraan. Sesuai benar nama ini dengan empunya badannya.  

Aku tak berniat nak tulis panjang kali ini, kerana tidak banyak yang aku ingin expose tentang dia. Tapi aku ingin menceritakan satu benda yang aku memang salute siap tabing spring ala-ala tentera lagi dekat dia. Satu benda besar yang aku belajar dari dia adalah tentang khidmatnya kepada kedua ibu bapanya. Rajinnya dia berkhidmat kepada ibu bapanya –masak, kemas rumah, membuat kerja-kerja yang boleh meringankan beban ibu ayahnya, senang cerita macam fulltime housewife la gituu– sehinggakan bila dia nak balik ke kolej untuk pengajiannya, ibu bapanya tanpa segan-silu berkata bahawa mereka akan merindui Farhah ketika ketiadaannya di rumah. Mereka seakan-akan berat untuk berpisah dengannya, walaupun mereka tahu Farhah pergi hanyalah untuk menuntut ilmu.

Rajinnya dia ni sampaikan bila dia tidur dekat rumah aku, ummi aku pun suka betul dengan dia. Mana taknya, boleh pulak tetamu yang masak untuk tuan rumah? Ish, ish, ish..

Setiap kali aku menyatakan kekaguman aku dengan kebaikan dia, laju je dia akan menidakkan segalanya. Katanya dia bukan anak yang baik lah, banyak lagi kekurangannya lah, dan macam-macam lagi lah alasan untuk mengukuhkan hujahnya hahaha. Tapi bagi aku, aku belajar banyak perkara dari dia. Dia antara role model aku untuk ujian yang aku hadapi. And I thank you for that. Alhamdulillah.

I tell you, dia antara orang yang paling unik ujian yang dihadapinya. Macam-macam benda yang dia lalui, boleh buat novel dah agaknya. But trust me, Farhah, all these things had made you who you are now. Look where you are now! Dan aku yakin, banyak lagi benda yang dia akan hadapi, tapi aku lebih yakin yang dia pasti mampu hadapi, selagimana Allah ada di sisi.

Dear, Farhah.
Perkenalan kita mungkin baru bermula, tapi hebat sungguh kepercayaan yang engkau berikan pada diri ini. That trust, I will never take it for granted. I promise.

Dear, Farhah.
Sungguh aku berharap agar Allah menjaga dan memberkati hubungan ini, kekal hingga ke syurga. Ehh, kita jiran kan dekat sana nanti? Hehehe..

Dear, Farhah.
Moga engkau kekal tabah dalam menghadapi ujian-ujian ini. Mungkin adakalanya ujian ini membuatkan kita berputus asa, tapi ingatlah akan adanya bantuan dari Yang Maha Esa. Well, what do we expect from this dunya, right? Dunya is a very scary place, it can make you become somebody you are not, make you blind towards anything that is clear enough, make you forget the very first promise that you made with The Almighty. But, don’t worry, we can get through this as long as we put our faith to Allah.

Dear, Farhah.
Moga seluruh kehidupan Farhah dilimpahi rahmat dan berkat dariNya. Moga Farhah diberikan kejayaan di dunia dan di akhirat, mendapat pengakhiran yang mulia. Moga Farhah menjadi muslimah yang hebat, anak yang solehah, sahabat yang sejati, bertemu dengan orang yang selayaknya untuk Farhah. That man will be the lucky one. :)

Dear, Farhah.
Jika pernah hadir rasa ragu-ragu akan persahabatan ini, katakan pada suara itu bahawa aku takkan pernah lupa dan sentiasa mengingati!

Dear, Farhah.
With all the struggles that you’ve gone through, I know you are stronger than you think you are. Don’t be sad, because Allah is always with us!

Dear, Farhah.
Thank you for being one of my best friends. Siapa sangka kan, adegan mengupas kuetiau bersama-sama boleh mengikat kita hingga sekarang, dan hingga selama-lamanya, insyaAllah! Moga persahabatan kita akan kekal hingga ke syurga, menjadi saksi kita di sana nanti!

Dear, Farhah.
Forget me not, okay~

Dear, Farhah...
SANNAH HELWAH!

Apa lagi guys, jom wish dekat dia! Hehehe..




P/s : Fa, this is the second surprise. Next surprise kena datang Perak dulu baru boleh claim hahaha *gelak jahat
    

Thursday, January 16, 2020

Life Lesson : PESAN AYAH

“Ummi, hari Jumaat ni ada bacaan Yaasin dan solat hajat untuk student PMR dengan SPM. Ibu bapa dijemput datang ke majlis tu sekali. Lepas habis majlis tu boleh terus balik rumah. Nanti Ummi datang ya?” aku menghabiskan perbualan aku bersama Ummi dengan memaklumkan berkenaan majlis yang akan diadakan pada minggu hadapan. Telefon awam yang seakan-akan lapar mula berbunyi menandakan mulutnya perlu disuap dengan duit syiling lagi. Kekurangan duit syiling membuatkan aku terpaksa menamatkan perbualan aku bersama Ummi dengan segera.

“InsyaAllah. Tengoklah dulu, rasanya Ayah yang pergi.” Ummi menjawab, disusuli dengan ucapan salam antara kami berdua. Majlis yang akan berlangsung pada minggu hadapan merupakan majlis tahunan yang diadakan bagi mendoakan kejayaan buat pelajar tingkatan 3 dan 5 yang bakal menghadapi peperiksaan besar pada setiap tahun. Lebih-lebih lagi dengan kehadiran ibu bapa yang turut serta dalam majlis tersebut, para pelajar semestinya akan lebih bersemangat untuk menduduki peperiksaan. Mana tidaknya, digabungkan doa ibu bapa bersama guru-guru, dua golongan penting untuk keberkatan sesuatu ilmu, pastinya keberkatan itu diangkat tinggi, insyaAllah!

Lebih meningkatkan keterlibatan ibu bapa dalam majlis ini adalah kerana selepas tamat sahaja majlis ini, para pelajar dibenarkan pulang ke rumah bersama keluarga. Cuti untuk mendapat restu la katakan. Mengisi masa bersama keluarga, mengeratkan lagi hubungan dengan ibu bapa di saat-saat genting sebelum peperiksaan, berbakti kepada ibu bapa selagi mampu untuk mendapat redha dan berkat. Oh ya, tapi cuti bukan sekadar cuti lah semestinya, kerana masih ditemani kerja-kerja sekolah atau latihan-latihan terakhir yang banyak daripada guru, one last shot gituuu. 

Aku yang bakal menghadapi peperiksaan menengah rendah tak lama lagi semestinya amat mengharapkan kehadiran Ummi dan Ayah dalam majlis ini. Jadi, dengan asbab cuti inilah aku “mengumpan” Ummi dan Ayah untuk turut serta dalam majlis ini. Kerana serasa aku, jika tidak dapat pulang bermalam di rumah, tidaklah Ummi dan Ayah dapat turut serta disebabkan komitmen untuk perniagaan keluarga kami. Tetapi bila sudah cuti, nak tak nak perlu jugalah mereka hadir untuk membawa aku pulang ke rumah. *gelak jahat

Sedar tak sedar, hari Jumaat pun mula menyapa kami. Selepas perhimpunan, pelajar-pelajar tingkatan 3 dan 5 mula sibuk membuat persediaan untuk majlis bacaan Yaasin dan solat hajat yang akan dijalankan sebentar sahaja lagi. Majlis dijalankan di surau, jadi kami semua bersama-sama mengemas surau, menyusun sejadah, menyediakan air Yaasin dan sebagainya. Belum pun majlis bermula, sudah kelihatan ibu bapa yang semakin ramai sampai di surau. Para pelajar yang ibu bapanya sudah sampai, masing-masing mengambil tempat berada di dalam saf, bersama ibu bapa mereka. Aku, tidak terlalu menunggu kerana aku tahu Ayah pasti tidak akan hadir awal (Biasalah tu, hero kan selalu sampai last minute. Ehh..). Kalaupun sudah sampai, tidaklah aku mahu duduk di sebelah Ayah dalam saf lelaki, nanti aku pula yang dibacakan Yaasin nanti hehehe.

Majlis dimulakan dengan solat hajat, berimamkan awak (ehh silap, silap), berimamkan ustaz. Selesai solat hajat, kami teruskan dengan bacaan Yaasin yang diketuai seorang pelajar tingkatan 5. Bacaan Yaasin hampir bermula, tapi aku masih tidak nampak kelibat Ayah. Risau pula aku jika Ayah tidak sempat turut serta apabila bacaan Yaasin sudah bermula, kerana jika Ayah tidak menjumpai tempat untuk duduk nanti, entah di mana-manalah yang diduduknya pula (cehh padahal sebenarnya tak mahu balik lewat, kalau boleh lepas majlis mahu terus terbang ke rumah hahaha ok ok gurau jehh). Elok saja bacaan Yaasin dimulakan, hati aku dipaut rasa lega apabila melihat Ayah yang kacak bergaya dengan berbaju Melayu terburu-buru masuk ke dalam surau dan mencari tempat duduk (ok ni hiperbola saja ya, Ayah seorang yang cool dan relax ). 

Bacaan Yaasin diakhiri dengan doa yang berjela-jela panjangnya, demi memohon kejayaan pelajar-pelajar dalam peperiksaan SPM dan PMR. Tidak lekang dari bibir si pembaca doa dengan perkataan “semua A dalam peperiksaan SPM dan PMR”, menampakkan kesungguhan kami untuk dimakbulkan doa tersebut. Di pemgakhiran doa, kedengaran gabungan suara para pelajar, guru-guru dan ibu bapa mengaminkan doa tadi, hingga menghasilkan gegaran seperti gempa bumi. 


Gambar hiasan

Setelah selesai majlis, dan bersalam-salaman antara ibu bapa, pelajar dan guru, haaa apa tunggu lagi.. Para pelajar serta-merta bertukar menjadi atlet mengalahkan atlet lumba lari dunia, masuk ke asrama, ambil barang dan chiauu. Hahaha takdelahh, kami dengan sopan-santun ayu-mayu sampai pijak semut pun tak mati, berjalan ke blok asrama, ambil barang dan melambaikan tangan kepada sekolah dengan linangan air mata bahagia. Cewahh..

So here I am, in the car, just me and my dad! Dan saat-saat seperti inilah yang selalunya dipandang sebagai peluang keemasan oleh Ayah untuk memberikan mutiara permata berlian bukan kaca kata-kata kepada anak-anaknya, yang semestinya tidak akan dibiarkan terlepas begitu sahaja. 

“Ayah sebenarnya tak berapa gemar dengan majlis-majlis seperti tadi.” 

Haaaa sudahhh! Apakah Ayah tidak suka program-program rohani seperti itu? Okay, sabar, sabar.. Ayah tak habis cakap lagi tu. 

“Bukan Ayah tak suka program-program keagamaan seperti tadi (fuhhh lega!), bahkan Ayah sangat-sangat menggalakkan aktiviti seperti itu, menunjukkan betapa tingginya kebergantungan kita kepada Allah SWT.”

Aku mengangguk-angguk faham seperti yang selalu aku lakukan dalam kelas Biologi (ecewahh bajet betul), tapi apa yang Ayah tak suka sebenarnya? Hmmm..

“Ayah tahu, doa itu sebagai salah satu cara yang kita akan gunakan bagi mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Dengan siapa lagi kita mahu meminta pertolongan kalau bukan Yang Maha Memberi, kan?”

“Tapi, Ayah jadi tak selesa dengan doa yang dipinta tu. Kamu pun tahu apa yang doa yang diminta tadi kan?” Lintasan doa-doa tadi terlintas di fikiranku sebagai jawapan kepada soalan Ayah.


Semua mendoakan agar mendapat keputusan semua A dalam peperiksaan. Sedangkan kita sendiri tidak tahu apakah keputusan semua A itu adalah yang terbaik di sisiNya. Keputusan itu mungkin baik di mata manusia, tapi baikkah sebenarnya untuk kita? Siapa tahu, dengan berjayanya kita saat ini akan menjadikan kita orang yang hina nanti, dan siapa tahu dengan gagalnya kita saat ini akan menjadikan kita orang yang mulia nanti? Tengok sajalah buktinya, ada manusia semakin bongkak apabila mempunyai harta yang banyak, dan ada manusia yang semakin dermawan walaupun diri sendiri sudah serba kekurangan. ”

Aku masih berdiam mendengar kata-kata Ayah. Dalam masa yang sama cuba menghadam satu per satu apa yang disampaikan.

“Daripada kamu meminta keputusan semua A dalam peperiksaan, Ayah lebih suka kalau kamu minta Allah kurniakan yang terbaik buat kamu. Kerana hakikatnya Yang Maha Mengetahui adalah Allah SWT. Boleh jadi sesuatu yang kita pandang baik di sisi kita adalah buruk di sisi Allah SWT, dan boleh jadi juga yang sebaliknya. Bila kamu berdoa macam ni, kamu dapat mengelakkan daripada rasa kecewa kalau kamu tak dapat semua A untuk peperiksaan nanti, sebab kamu tahu dan kamu mahu Allah kurniakan yang terbaik untuk kamu.”

Berdiam sahaja jawapan aku, membiarkan Ayah menikmati masanya untuk meluahkan isi hati.

“Ayah tak mengharapkan pun kamu hadiahkan Ayah keputusan yang cemerlang. Tapi kalau berjaya, alhamdulillah, itu adalah bonus. Tapi kalau tak dapat pun, tak mengapa, Ayah tak kisah pun. Ayah lebih berbangga kalau kamu dapat jadi anak yang solehah, bantu keluarga, dengar cakap Ummi, Ayah dan Mama. Buat sehabis baik untuk peperiksaan, tapi jangan terlalu mengharapkan kejayaan kerana kelak kamu akan kecewa jika tak dapat. Sebaliknya, berdoa moga kita memperoleh yang terbaik untuk diri kita, dengan itu, kita akan menjadi lebih tenang.”

“Pelihara perkara-perkara di sekeliling kamu; hubungan kamu dengan mak ayah, keluarga, cikgu-cikgu, kawan-kawan. Jaga solat, jaga ibadat. Kamu jaga semua perkara ni, jangan risau dah, Allah SWT akan pelihara kamu, beri kamu kejayaan, tapi tak semestinya melalui akademik sahaja.”

Aku tersenyum mendengar nasihat daripada Ayah. Jujur, kata-kata daripada Ayah membuatkan aku berasa tenang, seakan-akan hilang segala tekanan yang sudah sedia aku rasai, lebih-lebih lagi menjelang peperiksaan yang bakal aku hadapi. Dari dulu lagi, aku belajar bersungguh-sungguh dengan satu visi; untuk membuatkan mak ayah aku berbangga dengan aku, lebih-lebih lagi Ayah yang tidak terlalu menunjukkan reaksinya. Kadang-kadang aku tertanya-tanya adakah aku masih belum buat yang terbaik, sehingga tidak cukup membanggakan Ayah? Rupa-rupanya, ada sebab mengapa Ayah bertindak sedemikian. Ayah tidak mahu aku leka dan terlalu asyik dengan kejayaan yang aku perolehi, hingga aku tidak nampak apa yang dimahukan Ayah sebenarnya. Ayah mahu aku hidup untuk Tuhan, bukan hidup untuk insan.

Dan sejak dari hari itu, setiap kali berdoa untuk menghadapi peperiksaan, aku tetap akan berdoa untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang, tetapi pasti akan disusuli “jika itu yang terbaik untukku”. Aku akan berdoa supaya Allah SWT kurniakan yang terbaik untukku, supaya Allah SWT redha dengan kehidupanku.

Alhamdulillah, sepanjang aku bergelar pelajar, aku dapat menerima semua keputusanku dengan berlapang dada. Aku pun ada waktunya mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan, namun alhamdulillah, hasil didikan Ayah, aku berjaya mengelakkan diri aku dari berasa kecewa yang amat. Bahkan, aku melihat hikmah-hikmah indah yang aku dapat walaupun dengan keputusan yang tidak berapa bagus. Hikmah yang membawa perubahan besar dalam hidup aku. Mungkin kalian akan berkata, mudah untuk aku kerana ibu bapaku tidak terlalu mengejar keputusan peperiksaan yang cemerlang gemilang terbilang. Tetapi sebenarnya, itu merupakan isu kedua daripada fokus aku selama ini. Yang aku mahukan adalah––redha Ilahi! 


Firman Allah SWT :

وَعَسَىٰ أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya :
Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.
Al-Baqarah, ayat 216 .