Kali ini saya ingin berkongsi dengan anda perkongsian yang saya dapat daripada podcast oleh Ustaz Omar Suleiman yang hanya berdurasi kurang daripada 5 minit. Ringkas dan padat. Tetapi saya yakin penulisan saya tidaklah sependek itu kerana saya memang suka membebel hehehe. Hmmm yelah, yelah.. Saya akan cuba tulis sependek mungkin. *menjeling*
Ini merupakan kisah yang diceritakan oleh Ummu Darda'. Ummu Darda' berkata, ada satu malam, beliau telah melihat suaminya, Abu Darda' membacakan satu doa sepanjang malam itu. Okay, biar saya ulang. Hanya SATU DOA SEPANJANG MALAM beliau berqiamullail. Haa baru jelas hehehe..
Doa yang dibacakan oleh Abu Darda' merupakan doa yang pernah Rasulullah S.A.W. baca. Nak tahu doa apa? Okay, tadah tangan dulu..
اللَّهُمَّ أَحْسَنْتَ خَلْقِي فَأَحْسِنْ خُلُقِي
"Ya Allah, sebagaimana Engkau telah memperindah rupaku maka perindahlah pula akhlakku."
(Gambar hiasan)
Okay sambung cerita..
Bila fajar mula memunculkan diri untuk mengejutkan si manusia daripada tidur, hati Ummu Darda' diserang rasa tidak sabar-sabar ingin bertanyakan soalan kepada suaminya yang terchenta. Beliau pun bertanya kepada suaminya dengan hati yang dup-dap-dup-dap berdebar,
"Wahai suamiku yang disayangi dan dicintai, mengapakah aku hanya mendengar kamu membacakan satu doa yang sama sahaja sepanjang malam engkau beribadah? Apakah engkau tidak menginginkan hal-hal yang lain?"
Abu Darda' dengan machonya menjawab,
"Isteriku yang jelita, pujaan hati dan jiwa, tahukah engkau bahawa apabila akhlak seorang Muslim itu indah, dia akan menyantuni orang lain dengan layanan yang baik. Dengan layanan yang baik itu, orang lain akan mendoakan kebaikan buatnya sehingga dia dmasukkan ke syurga kerananya. Manakala apabila seorang Muslim itu berakhlak buruk, dia akan melayan orang lain dengan layanan yang buruk. Dengan layanan yang buruk itu pula, orang lain akan mendoakan keburukan buatnya sehingga dia dimasukkan ke dalam neraka kerananya."
*angkat kening dua kali*
Saya setuju dengan apa yang diperkatakan oleh Abu Darda' tentang akhlak boleh membawa kita sama ada ke syurga ataupun sebaliknya. Saya anggap ini merupakan satu strategi yang diaturkan oleh Abu Darda' untuk membolehkannya masuk ke syurga. Berdoa dengan hanya satu doa sepanjang malam menunjukkan kesungguhannya untuk diperkenankan doa tersebut, membuktikan bahawa doa itu benar-benar penting untuknya menjadi seorang hamba yang soleh.
Anda bayangkan, jika Allah memperkenankan doanya, doa yang diminta setiap hari, sepanjang malam, jika Allah memakbulkan doanya untuk menjadikan akhlaknya indah, saya yakin, akhlaknya bukan sahaja cantik bahkan mulia. Kita semua pasti suka melihat seseorang yang berakhlak cantik molek cun melecun bom kebabom, bukan? Hati kita mesti akan jatuh cinta dengan akhlak yang ditonjolkan, bahkan perilaku mereka juga boleh menarik kita untuk menjadi seperti mereka, sentiasa mendampingi mereka, sehingga terbawa-bawa nama mereka dalam doa kita. Terasa ingin membalas segala perbuatan baik mereka dengan ganjaran yang indah belaka. Haa ganjaran apa yang terbaik dari yang terbaik? Semestinya sorga firdausi idaman hati!
Nah, inilah yang saya cuba sampaikan. Dengan akhlak yang cantik, banyak perkara yang baik dapat kita perolehi. Tidak perlu rasanya saya nyatakan satu per satu, saya yakin anda semua sudah tahu hehehe..
Lihat sahajalah kenapa Rasulullah S.A.W. dihantarkan kepada kita.
Dalam hadis dari Abu Hurairah R.A., Rasulullah S.A.W. bersabda:
إِنَّمَا بُعِثْتُ لأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الأَخْلاقِ
“Sesungguhnya aku diutus hanya untuk menyempurnakan kesolehan akhlak.”
(HR. Al-Baihaqi)
Hatta ramai kaum musyrikin tertarik dengan Islam bukanlah melalui dakwah yang diajak secara direct tetapi melalui akhlak mulia yang ditonjolkan kaum Muslimin. Saya yakin hakikat itu benar sehingga kini.Maka benarlah kepentingan akhlak mulia itu besar buat kita. Jika itu boleh dijadikan asbab seseorang menjadi baik juga, maka bukankah itu sesuatu yang sangat mulia?
Hmmm, mungkin kita juga boleh mula melakukan "strategi" yang sama? Hehehehe..
Moga Allah memudahkan urusan kita untuk menjadi lebih baik, moga Allah hiasi diri kita semua dengan akhlak yang mulia! Ameen!
"YA ALLAH, SEBAGAIMANA ENGKAU TELAH MEMPERINDAHKAN RUPA KAMI, MAKA KAU PERINDAHKAN PULA AKHLAK KAMI!"
Salam 'alaik, sahabat! :)
(Haaa pendek tak? Saya rasa ni dah cukup pendek dah ni hohoho. Oh ya, side effect penceritaan tadi hanya ditambah oleh saya bagi memasukkan elemen drama dalam cerita tu hehehe)
Rujukan :
1) Podcast - Beautify Me Internally oleh Ustaz Omar Suleiman.

