Salam ‘alaik, geng! Aku mendoakan kita semua sentiasa berada dalam rahmat dan kasih sayang Sang Pencipta. Sudah lama rasanya aku tidak menulis di sini. Bukan apa, laptop aku mahu bercuti sebentar, tapi lama juga aku tunggu dia kembali dari bercuti, rupa-rupanya dia terlupa jalan pulang (duhh what kind of joke is this?) Hahaha abaikan, abaikan.
Hari itu, aku baru sahaja selesai mengkhatamkan kesemua siri The Hunger Games. Lambat, bukan? Padahal cerita itu sudah lama selesai. Bagi sesiapa yang tidak pernah menonton siri cerita ini, (cehh macam mustahil saja) cerita ini berkisarkan perjuangan Katniss Everdeen, seorang wanita hebat yang cantik (saja nak highlightkan cantik tu sebab Jennifer Lawrence cantik sangat!) untuk mewujudkan penyatuan rakyat negara mereka untuk menentang pihak berkuasa yang sekian lama menindas mereka.
The Hunger Games
Cerita ini mempunyai 4 siri, yang mana kesemuanya merupakan rentetan perjuangan Katniss dalam membela nasib rakyat negaranya. Mereka mempunyai satu tradisi untuk mengadakan sebuah permainan ini pada setiap tahun. Budaya permainan yang diberi nama “The Hunger Games” telah menindas rakyat golongan bawahan, kerana para pesertanya perlu berbunuhan sesama sendiri bagi merebut gelaran juara iaitu satu-satunya manusia yang hidup di akhir permainan ini. Peserta (baca : peserta paksaan) dipilih secara rawak dari daerah seluruh negara, tetapi tidak termasuk daerah golongan berada, kerana mereka adalah penontonnya, atau lebih tepat lagi, permainan ini adalah hiburan buat orang bandar. Dan Katniss Everdeen merupakan salah seorang pesertanya, yang sebenarnya telah menyukarelakan diri sendiri bagi pihak adiknya, semata-mata tidak mahu adiknya terlibat dalam permainan “sengaja meragut nyawa” ini.
Aku menceritakan respon aku setelah menamatkan kesemua siri cerita ini kepada seseorang, betapa aku kagum dengan keberanian yang ditonjolkan oleh Katniss. Dengan segala tindak-tanduk serta keputusan yang diambil oleh Katniss, di mata masyarakat lain, beliau telah dilihat sebagai ikon revolusi menentang pihak berkuasa yang menzalimi rakyat marhaen. Keberanian ini juga telah menyatupadukan rakyat seluruh negara untuk bangkit berjuang bersamanya.
Menonton cerita ini, aku terus teringatkan saudara-saudara seIslam kita yang tidak henti-henti ditindas di seluruh dunia (tapi semestinya penderitaan yang dihadapi saudara kita jauh lebih dahsyat daripada cerita ini yang hanya fiksyen semata). Semakin hari, kita dapat lihat kezaliman demi kezaliman yang berlaku ke atas saudara kita. Melihatkan kezaliman ini, aku benar-benar mengharapkan kewujudan Katniss Everdeen versi realiti. Kehadiran yang mampu mewujudkan perpaduan umat Islam seluruh dunia, untuk menjadi hero saudara-saudara kita. Kerana aku yakin, hanya apabila umat Islam bersatu, ya, hanya dengan itu, mereka dapat dibantu.
Seseorang itu kemudian memberikan pendapatnya pula berkaitan cerita ini. Katanya,
“Makin kuat kuasa media kita, makin kita mampu menyalakan semangat juang.”
Ya, tidak dinafikan kebenaran kata-kata ini. Kerana dalam cerita ini, pihak Katniss dan pihak berkuasa sama-sama berebut untuk memonopoli kuasa media, kerana mereka tahu, dengan cara itu mereka akan berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat yang lain. Kuasa media dilihat sebagai suntikan racun atau ubat kepada pesakitnya, siapa yang menjadi penyuntiknya, maka dialah yang akan menentukan “suntikan” apa akan diberikan kepada rakyat tidak tahu apa-apa.
Mendengarkan pendapat ini membuatkan aku tersedar akan sesuatu. Aku seperti dapat membuat perkaitan antara kedua-dua ulasan tadi. Begini, aku menginginkan titik tolak kepada penyatuan umat Islam seluruh dunia, manakala si dia telah menyatakan peri penting kuasa media dalam menyuntik semangat juang antara kita. Di sini aku melihat satu peluang untuk kita semua sebarkan keprihatinan dan kukuhkan perpaduan, melalui media; dengan cara menyebarkan isu-isu kezaliman ke atas umat Islam di seluruh dunia. Bukan untuk menyebarkan kezaliman, tetapi untuk membuka mata kita yang sudah lama terpejam.
Isu-isu berkaitan penindasan terhadap umat Islam bukan baru berlaku, tetapi sudah beratus tahun lamanya. Tapi hairan bukan, kenapa kita seakan-akan tidak pernah mengetahui atau memandang enteng kekejaman yang berlaku ke atas saudara kita sendiri? Pelik kerana sebab utama kezaliman ini berlaku bukanlah kerana tanah air semata, tetapi punca utamanya lebih tepat lagi adalah kerana agama. Perasankah kalian, kuasa media kita belum cukup kuat lagi bagi menyebarkan berita yang sebenar. Hal ini menyebabkan kita leka dengan dunia kita, terlupa akan realiti sebenar yang dihadapi umat Islam seluruh dunia. Apa yang ditunjukkan sebelum ini hanyalah apa yang mereka (baca : musuh Islam) mahu tunjukkan, dan disimpan apa yang mahu disorokkan. Kalaupun ada yang tahu tentang isu-isu ini adalah mereka yang benar-benar mencari dan mengambil tahu nasib saudara-saudara kita di seluruh dunia.
Tetapi, lihatlah sekarang. Hampir kesemua daripada kita mempunyai akses kepada media sosial. Aku sangat meyakini kuasa viral daripada pengguna media sosial. Walaupun di alam nyata kita bukanlah manusia berkuasa, tetapi apabila di alam maya, setiap dari kita mempunyai kuasa tersebut. Setiap dari kita merupakan pemegang jarum suntikan tadi. Bayangkan kalau setiap dari kita berkongsi dan menyebarkan tentang hal dan keadaan saudara kita yang terang lagi bersuluh telah dilanggar hak asasi manusianya oleh si pendera, bukankah kita dapat membina kefahaman yang sama kepada semua, sekaligus mewujudkan sebuah kesatuan antara kita? Bukanlah niat aku ingin mewujudkan pemberontakan, tetapi lebih kepada keinginan agar semua orang di dunia ini tahu apa yang terjadi kepada saudara-saudara kita yang masih lagi mencari pembelanya. Musuh Islam ingin menutup apa yang sebenarnya, jadi tugas kitalah untuk menyingkapnya semula.
Namun begitu, pesanan tegas dariku adalah jangan sesekali berkongsi secara membuta tuli. Asal apa yang nampak berkaitan, terus mahu dikongsi. Kita fikir, semuanya pasti yang asli, sekali, hmm ada pula yang menjerat diri sendiri. Jadi, pastikan apa yang dikongsi itu adalah benar, dan rujukannya daripada sumber yang sahih. Menyebarkan yang palsu itu juga tiada bezanya seperti merahsiakan yang sebenar.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
“Wahai orang- orang yang beriman, jika ada seorang fasik datang kepada kalian dengan membawa suatu berita penting, maka tabayyunlah (telitilah dulu), agar jangan sampai kalian menimpakan suatu bahaya pada suatu kaum atas dasar kebodohan, kemudian akhirnya kalian menjadi menyesal atas perlakuan kalian.”
[Surah Al-Hujurât, 49:6]
Oh ya, jangan kalian salah faham apabila aku menggunapakai istilah “musuh Islam”. Tidak semua orang bukan Islam merupakan orang yang memusuhi Islam, bahkan ada antara mereka yang lebih lantang suaranya dalam mempertahankan hak saudara kita yang ditindas (Allahu, malu dengan diri sendiri). Bukan apa, risau pula aku kalau-kalau ada yang terus tak mahu bersapa dengan Ah Chong atau Raju si jiran sebelah. Hahaha gurau, gurau. Musuh Islam adalah mereka yang merencana untuk menjatuhkan Islam, hatta jika dia seorang muslim sekalipun, tetapi mempunyai visi dan misi yang sama seperti tadi, dia juga telah melayakkan dirinya untuk digelar musuh Islam. (Na’uzubillahiminzalik!)
“Alahh, kalau aku sorang je share pasal ni, bukan bagi effect pun.”
“Hmm, aku tak reti la nak kongsi pasal benda-benda macam ni. Rasa tak layak pun ada.”
“Aku bukan sesiapa pun nak suarakan benda ni. Biar je la pemimpin yang buat kerja diorang.”
Ya? Ada sesiapa bercakap ke di belakang tu? (ecehh bajet bagi speech depan orang ramai je aku ni. Kahhh!)
Dalam pembinaan sebuah rumah, paku yang kita tak nampak secara luarannya pun mempunyai fungsinya yang sendiri, dan menyumbang kepada terbinanya sebuah rumah. Sama juga seperti kita, sehalus-halus suara kita tetap akan menjadi sebuah laungan yang kuat sekiranya setiap dari kita melontarkan ayat yang sama. Tiada istilah “tidak menyumbang apa-apa”. Yakinlah setiap apa yang kita tunjukkan akan memberi kesan walau sekecil-kecilnya.
Aku kira, kalian faham apa yang mahu aku sampaikan. Aku, mungkin hanya mampu dengan menulis sebegini, tapi siapa tahu, kalian mampu buat yang lebih dari ini? Jika ada yang mampu menghulurkan bantuan, mampu menjadi sukarelawan, masyaAllahh jangan lepaskan peluang keemasan! Jom, kita sebarkan seluas yang mungkin, biar satu dunia tahu, kita adalah sekeluarga! Dan keluarga, takkan biarkan keluarganya terseksa!
Hayya, spread the awareness!





