Salam 'alaik, geng! Sihat ke tu?
Kali ini aku terasa nak bercerita tentang pengalaman aku sikit. Sebenarnya banyak kali juga aku berkira-kira nak share pasal ni, segan punya pasal hehehe. Tapi aku buat keputusan untuk cerita juga, moga-moga kalian yang membaca akan mendapat pengajaran atau kebaikan dari pengalaman aku yang tak seberapa ini.
Gambar hiasan
Perkara ini baru berlaku, to be exact, hujung bulan Ogos. Oh ya, jangan ambil serius dengan tajuk di atas, yang aku mahu maksudkan dengan perkataan "identity" itu ialah card holder yang menyimpan kad pengenalan, lesen memandu, kad insuran, kad keahlian kedai buku dan kad-kad bank aku. Nak dijadikan cerita, card holder aku telah hilang! (Okayy ini agak drastik untuk permulaan cerita) Aku pun tak pasti bila hilangnya, tapi kali terakhir aku melihat card holder tersebut adalah minggu sebelumnya semasa berada di Ipoh. Waktu itu aku sedang melakukan urusan discharge ibu aku dari hospital. Jadi, aku sangat yakin aku akan terus memasukkan card holder itu ke dalam beg bila sudah selesai....errr kan? Lagipun, kalau betul-betul aku tertinggal di hospital, pihak hospital semestinya akan menghubungi aku untuk memaklumkan ada barang yang tertinggal.
Aku baru menyedari kehilangan card holder beberapa hari setelah keluar dari hospital. Sepanjang ketidaksedaran aku pula, aku ada juga pergi ke beberapa tempat. Sedang aku membuat kerja, tiba-tiba aku teringatkan card holder itu (aku memang selalu perlu memeriksa keberadaan card holder kerana aku sukaaa sangat menukar-nukar posisinya, kemudian lupa hahaha yess I'm such a clumsy person. Dan sebenarnya ini kali kedua card holder aku hilang, tapi sebelum ini berjaya dijumpai hehehe) . Dengan perasaan yang berdebar-debar, aku terus memeriksa beg aku. Dan ya, seperti yang dijangka, card holder tiada dengan aku. Puas aku mencari, masih tidak dijumpai. Aku cuba menyedapkan hati dengan mengatakan bahawa mungkin aku tertinggal di rumah. Hmmm betul, betul.. mesti ada di rumah....kan?
Sudah namanya manusia, yang perkataan dasarnya membawa maksud lupa, maka aku pun tidak larilah dari sifat pelupa hehehe.. Apabila aku pulang ke rumah, boleh pula aku terlupa untuk mencari barang yang hilang tadi. Punya lah lupa sampaikan aku berasa tenang dan bahagia seakan-akan tiada apa yang berlaku. Adoii..
Esoknya, di tempat kerja juga, barulah aku teringat tentang kejadian semalamnya. Mulalah perasaan tidak tenang, gelisah, gundah-gulana, haru-biru-ungu semua datang menerpa. Bertubi-tubi aku menyumpah-seranah diri sendiri atas kealpaan aku untuk mencari card holder itu. Dan sepanjang hari itulah aku berasa tidak senang duduk, selagi tidak mencari barang itu di rumah. Beberapa kali juga aku cuba memeriksa semula beg, manalah tahu berlaku keajaiban, puuffff tiba-tiba ada semula di dalam beg hehehe, gembira bukan kepalang lah aku.
Sesudah pulang ke rumah, benda pertama yang aku lakukan adalah menyempurnakan misi mencari card holder! Terus aku meluru ke bilik, mencari di meja bilik, katil, almari, meja tepi katil, bawah katil, bawah bantal, dalam laci, celah-celah buku, dalam beg-beg baju... Well, you can guess the answer, kalau jawapannya positif, maka tak jadilah cerita ini. Murung juga la satu malam tu. Bukan sedih sebab hilang card holder tu, tapi stress memikirkan segala benda yang perlu dilakukan disebabkan dokumen peribadi hilang. Kalian faham tak perasaan tu? Aku sebenarnya paling malas sekali bila mahu melakukan urusan-urusan sebegini. Hal-hal yang melibatkan prosedur yang panjang. Fuhhh lap peluh sebentar..
Ada juga aku termenung memikirkan apa yang telah berlaku. Aku tahu, tiada gunanya aku berterusan bersedih. Dan waktu ini jugalah, terimbau kembali nasihat-nasihat yang aku pernah berikan kepada kawan-kawan aku. Aku ibarat mendengar “suara” aku berkata-kata kepada diri sendiri.
“Ingat, setiap apa yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Bukankah Allah dah janji bahawa bersama setiap kesusahan itu ada kesenangan? Walau apa pun yang terjadi, aku kena sentiasa bersangka baik dengan Allah, sebab Allah akan menjadi mengikut sangkaan hambaNya.”
“Suara” itu berulang-ulang kali menasihati aku. Mana tidaknya, sebelum ini aku selalu berpesan kepada kawan-kawan begitu, mungkin inilah masanya untuk aku praktikkan apa yang aku pernah katakan, bukan? Pernah tak dengar ayat “kita akan diuji dengan apa yang kita perkatakan”. Haa lebih kurang begitulah ceritanya..
Dengan “suara” itulah, aku memujuk diri aku, supaya aku tidak selamanya bersedih atas apa yang telah berlaku, sebaliknya memikirkan bagaimana untuk menghadapi apa yang bakal berlaku. Jadi, dengan semangat yang mula meningkat sedikit (walaupun masih stress hahaha), keesokannya aku memulakan operasi untuk menyelesaikan masalah aku.
Sangat tidak aku sangka bila aku merasakan Allah seakan-akan memudahkan jalan aku. Bukanlah maksud aku segalanya selesai serta-merta, tetapi Allah hadirkan mereka yang sangat-sangat membantu aku. Semua urusan menjadi lancar. Bermula dengan pergi ke bank untuk menghentikan penggunaan kad-kad bank aku, pegawai bank itu turut sama berkongsi rasa khuatir atas kehilangan barang-barang peribadi aku, sedangkan beliau berbangsa Cina! (not to be racist, but I do feel this is something I impress, ditambah dengan cara pemakaian aku lagi, aku tidak menyangka layanan yang sedemikian rupa). Malah beliau mencadangkan cara untuk memudahkan urusan aku jika aku perlu membuat kad-kad bank yang baru. Begitu juga ketika membuat laporan polis, pegawai polis yang lagaknya konon tegas dan garang sebenarnya sangatlah menghiburkan dan kelakar. Ini benar-benar menenangkan hati aku yang sudah sedia kerisauan. Semasa membuat lesen memandu pula, aku terharu dengan sikap pegawai JPJ yang sangat menitikberatkan keselesaan aku sebagai seorang muslimah. Jujur aku katakan, pengalaman membuat dokumen-dokumen peribadi kali ini sangatlah menarik, dan akan termasuk dalam kenangan yang indah.
Aku malu mengenangkan baiknya Allah kerana memudahkan urusan aku, sedangkan banyaknya aku mengeluh sebelum ini. Aku tertanya-tanya juga, adakah ini ganjaran yang Allah berikan kerana aku bersangka baik kepadaNya? Hmm, kalian rasa? Wallahua’lam, hanya Allah sahaja yang tahu kebenarannya. Untuk aku, sudah cukup dengan apa yang Allah telah berikan kepada aku, aku betul-betul bersyukur atas nikmat untuk aku lalui semua ini. Dan tidak dinafikan kehadiran orang sekeliling yang membantu menenangkan perasaan aku. Specially to my little sister, aku tak sangka dia beria-ria menolong aku ketika sedang mencari card holder aku. (Fuhh harap-harap dia tak baca ni, nanti dia tuntut hadiah) Tapi tindakannya sangat membantu menggembirakan hati aku. And of course my other family members too.
Aku harap, dengan cerita aku kali ini akan membantu kalian untuk menghadapi ujian yang kalian sendiri sedang hadapi. Aku tahu, ini bukanlah apa-apa jika hendak dibandingkan dengan apa yang kalian hadapi, tapi aku harap kalian jelas dengan main points yang cuba aku sampaikan. Setiap orang tidak lari daripada menghadapi ujian, kerana itulah tanda Allah sayang. Biarpun kecil atau besar ujian itu, yakinlah kalian pasti akan mampu menghadapinya, bahkan Allah sentiasa bersamamu. Rasa sedih, kecewa dan putus harapan itu biasa. Bersedihlah dengan apa yang berlaku, kerana sedih juga adalah perasaan yang Allah kurniakan buat manusia. Tanpa sedih, kita mungkin tidak kenal erti bahagia. Namun, janganlah dengan kesedihan itu, kita berputus asa daripada rahmat Allah, kerana itu bukan sifat orang mukmin.
To all the broken hearts, don’t give up!
Oh ya! Sedikit babak selepas ending cerita tadi..
-Beberapa hari kemudian selepas selesai SEGALA urusan-
“Assalamualaikum. Saya Encik Abu (bukan nama sebenar) dari Balai Polis London (bukan tempat sebenar). Boleh saya bercakap dengan (nama aku)?”
“Ya, saya sedang bercakap.”
“Haaaa, ni cik punya IC, lesen memandu, kad bank, kad insuran semua ada pada saya..”
Alhamdulillah! Hahahaha
Ni bukan magis seperti yang aku sebut tadi, tiba-tiba saja muncul tau.. Ada seseorang telah menjumpai card holder aku dan menyerahkannya kepada polis. Orangnya pun mereka tidak tahu siapa, jadi aku tidak berpeluang mahu berterima kasih secara terus. Maka, terima kasih Allah kerana membukakan pintu hatinya untuk menyerahkan barang tersebut. Moga kehidupannya sentiasa diberkati dan diberikan ganjaran yang baik. Ameen! Polis kata card holder itu sudah lama berada di balai polis, masing-masing fikir aku sudah tahu tentang keberadaannya. Maka jelaslah Allah mahu menghadiahkan aku pengalaman-pengalaman manis ini! Aku kira ini juga kerana sangkaan yang baik itu. :)

No comments:
Post a Comment