Pages

Saturday, March 21, 2020

COVID-19 : Hanya Sekadar Virus?


Salam ’alaik, geng! Sihatkah kalian? Musim kepungan ini, saya harap kalian baik-baik sahaja di rumah (buat yang tidak bekerja la hehe).

Jadiiii, melihat kepada tajuk, saya yakin kalian sudah sedia maklum ke mana arah tuju sembang kita kali ini. Tapi sebelum itu, suka saya maklumkan bahawa saya bukanlah ingin bersembang ala-ala student medic atau doktor pakar, dan bukan juga sebagai Pencetus Ummah mahupun mudir pondok tepi sungai. Entri kali ini hanya sekadar perkongsian pendapat daripada saya. Jadi semestinya ringan-ringan sahaja, jangan risau ya..

Gambar hiasan dari Google


Disember 2019, dunia dikejutkan dengan virus yang dikatakan berpunca daripada budaya pelik masyarakat Wuhan di China yang memakan hampir semua jenis makhluk Tuhan termasuklah yang tidak pernah terfikir dek akal iaitu haiwan-haiwan liar. Semestinya di awal berita tergempar ini, ramai pihak memandang buruk budaya masyarakat Wuhan tersebut. Tidak kurang juga pelbagai hujah kehidupan yang dikeluarkan daripada pelbagai pihak, beraneka latarbelakang ; tak kira golongan agama, golongan politik mahupun rakyat marhaen dan budak sekolah. Namun, ada juga pihak yang menyangkal kenyataan itu iaitu seorang Senator Amerika Syarikat yang mengatakan bahawa virus tersebut dicipta sendiri oleh China di sebuah makmal yang terletak berdekatan pasar yang menjual haiwan-haiwan terlarang itu. Beliau juga mengatakan China telah menipu dunia dari awal lagi berkenaan virus ini. Kebenarannya? Wallahua’lam..

Dalam kita sibuk membincangkan betapa teruknya budaya tersebut, kita lupa mara bahaya virus kecil ini. Tak sangka pula kita, makhluk Allah yang sekecil ini boleh menggegarkan makhluk sebesar dunia. Virus merebak ke seluruh dunia, hingga mengubah perhatian manusia kepada makhluk yang kecil ini. Manusia tidak lagi sibuk membincangkan punca wabak ini wujud, malah tiada lagi yang membangkitkan isu jijiknya budaya Wuhan (kecuali Trump yang sentiasa bertegas untuk menggelar virus ini sebagai “Chinese virus”. Cehh menyempat!), kerana semua bertungkus-lumus memikirkan cara untuk menghalang si kecil ini dari terus memusnahkan kehidupan manusia. 

Hebatnya penangan si kecil ini, sedangkan sebelum virus ini memunculkan diri, dunia menyaksikan bermacam-macam adegan dan tragedi baik di peringkat Malaysia mahupun antarabangsa ; isu AS–Iran, kebakaran di Australia, pembantaian umat Islam yang tidak henti-henti di seluruh dunia, ditambah lagi dengan penindasan besar-besaran kepada umat Islam di India, pertukaran tampuk kepimpinan di Malaysia dengan cara yang tidak disangka-sangka hingga mewujudkan slogan “Aku tak undi dia!” dan banyak lagi. Semuanya berjaya disenyapkan hanya dengan si kecil-kenonet, Corona virus

Tidak ketinggalan negara kita untuk menjadi mangsa “penjajahan” virus ini, yang jumlah kesnya saban hari semakin membimbangkan. Antara inisiatif dari kerajaan bagi membendung masalah ini, seperti yang kita semua sedia maklum adalah dengan mengeluarkan perintah berkurung bermula 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020 (buat masa ini la). Maka berbondong-bondong lah rakyat Malaysia tercinta kini berada di rumah (walaupun ada sesetengah pihak yang masih berdegil kononnya mahukan freedom, okay malas nak bincangkan isu ni hahaha). 

Okay, done intro. Next! 

DUNIA SUDAH DI PENGHUJUNG?

Okay, okay. Minta bertenang semua. Jangan dahulukan pembacaan anda dengan spekulasi seperti :

“Wait, what? Ni ada kaitan dengan tanda-tanda kiamat ke?”
“Haishh dia ni, nak kaitkan dengan konspirasi Dajjal lettuww.”
“Halah halahhh.. orang dah cuak dengan Covid-19, dia tambah dengan kiamat pulakkk.”

Sabar, sabar. Duduk elok-elok dulu.

Saya bukanlah ingin mengaitkan ini dengan tanda-tanda kiamat atau ingin mengeluarkan kenyataan rasmi di TV3 berkenaan Pakcik DJ akan keluar. Okay gurau, gurau.. Tapi tu lahh, kalian tak rasa pelikkah? Cuba anda renungkan, penipuan berleluasa baik dari sekecil-kecil pihak hinggalah ke sebesar-besar kuasa pemerintah, penzaliman ke atas umat Islam yang bagai tiada pembelanya, fenomena alam yang tidak pernah terlintas di fikiran kini disajikan kepada penduduk dunia. Semua ini seakan-akan hampir tidak dapat diterima akal fikiran yang waras. 

Tidakkan kalian merasa saat ini kita amat memerlukan seorang hero atau pembela kita? Bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW mengenai kemunculan Imam Mahdi di saat dunia ini sudah dipenuhi dengan kezaliman. But yeah, bukanlah saya ingin mengatakan dengan penuh yakin bahawa kejahatan yang berlaku sekarang sudah cukup ditahap maksima, tapi, anda sendiri boleh menilai betapa dahsyatnya maksiat dan dosa yang sedang berlaku.

Betul-betul sebelum tularnya berita Corona virus, dunia diberitakan dengan penindasan besar-besaran ke atas umat Islam di India. Flashback pula sebelum itu, kezaliman ke atas muslim di China. Oh ya, tak lupa juga kepada rakyat Islam di Rohingya, dan ya, saudara kita yang tak henti-henti diseksa di Gaza dan Syria. Di mana-mana sahaja, muslim ibarat makhluk yang dilabel sebagai mangsa. 

Dan tidaklah munculnya pembela kita, Al-Mahdi melainkan apabila dunia benar-benar memerlukannya. Pembantaian umat Islam sudah cukup hebat dah sekarang. Kalau ya pun bukan sekarang waktunya, saya yakin masanya sudah tidak lama.
Semestinya, bukanlah niat saya ingin menyatakan bahawa Covid-19 termasuk dalam tanda-tanda kiamat, saya bukanlah sesiapa untuk menyatakan sebegitu. Cuma, di kesempatan ini, suka saya ingatkan kepada kita semua bahawa dunia ini sudahpun semakin nazak, dan tidak perlulah kita berdalih dengan kenyataan ini. Bahkan, persiapan kita untuk menghadapi hari-hari mendebarkan nanti sepatutnya sudahpun bermula.

PERKAITANNYA DENGAN COVID-19?

Dengan seluas-luas penyebaran virus ini ke seluruh pelosok dunia, saya yakin keadaan dunia selepas pulihnya kita dari wabak ini (insyaAllah ameen!) akan berubah, tak kisahlah dari segi apa pun. Persoalannya adalah, adakah Allah SWT saja-saja mengizinkan ini daripada berlaku? Atau ada sesuatu yang mahu disampaikanNya? 

Saya yakin, wabak yang melanda seluruh dunia ini juga merupakan antara plot-plot yang Allah aturkan untuk kita menuju ke babak penting selepas ini. Beraninya saya berkata begini adalah kerana wabak ini bukan sahaja berskala negara, tapi sedunia! Wabak ini telah menggemparkan bukan hanya negara-negara kecil, tetapi juga kuasa-kuasa besar dunia.

Dan paling membimbangkan sekiranya keadaan akan berlanjutan bukan hanya dua minggu, malah berbulan-bulan. Ekonomi akan lumpuh sekiranya perkara ini berlanjutan lama, seterusnya membawa kepada kemunduran pelbagai aspek. (Saya bukanlah mahir dalam bidang ini, jadi tak berani nak ulas banyak. Tapi secara asasnya, kita tahu kejatuhan ekonomi mampu membawa banyak keburukan baik untuk individu, masyarakat, negara bahkan dunia, bukan?)

COVID-19 : KEBETULAN ATAU LATIHAN?

Berdasarkan perkara-perkara yang telah saya nyatakan di atas, amatlah jelas saya ingin menyampaikan bahawa pada pendapat saya, saya memandang isu Covid-19 ini sebagai sebuah latihan, bukan hanya kebetulan semata-mata. Latihan berkaitan apa? Latihan kita apabila kelak akan menghadapi hari-hari kemunculan Dajjal laknatullah.

Tidakkah anda perasan bahawa situasi sekarang seakan-akan sama seperti saat itu nanti? Ya, ya, saya tahu keadaan ketika keluarnya Pakcik DJ nanti akan lebih menggerunkan dan lebih menyeksakan. Sebab itulah saya menyatakan ini hanya sebagai latihan. Takkan kita mahu menghadapi hari-hari tersebut, yang dikatakan fitnah terbesar umat akhir zaman (baca : fitnah terbesar mengalahkan segala apa yang kita sedang diuji atau pernah diuji sebelum ini) hanya dengan tangan kosong dan jiwa yang tidak bersedia, bukan?

Come on, guys. Rasulullah SAW sendiri teramatlah risau dengan kita di akhir zaman kerana fitnah yang satu ni. Takkan kita tak rasa apa-apa koottt? Bila amaran itu diberi oleh Rasulullah SAW sendiri, bukannya baru semalam, tapi dari lebih 1400 tahun yang lalu, takkan kita nak biarkan begitu sahaja, bukan?

Perintah kawalan pergerakan yang sudah digunapakai oleh seluruh negara kita patut diambil kesempatan dengan menjadikan ini sebagai latihan kita menghadapi hari kemunculan Dajjal dan dalam masa yang sama, hari kebangkitan Islam itu sendiri. Kita tahu, selari dengan keluarnya Pakcik DJ, Imam Mahdi juga bakal muncul bagi menyelamatkan kita bersama-sama dengan Nabi Isa. Mahu menjadi tentera Imam Mahdi, perlukan ketaqwaan yang tinggi. Tapi, lihat sajalah apa yang kita sedang lakukan sekarang. Adakah kita sedang melakukan persediaan untuk menjadi bakal tentera cicit Rasulullah SAW itu atau sebaliknya? 

*headshot diri sendiri

Beginikah caranya kita nak menyambut kedatangan Imam Mahdi nanti? 
Dengan tidur sepanjang hari?
Dengan menonton Netflix dari pagi hingga terbenam matahari?
Dengan bermain game sampai habis bateri?
Dengan bermain handphone hingga juling mata sendiri?

Oh ya, saja lah nak khabarkan sekali. Alang-alang dah sebut pasal ni. Tahukah kalian Malaysia menjadi pengunjung di laman sesawang PornHub dengan kenaikan 84% semenjak perintah berkurung ini, sekaligus menjadikan Malaysia negara keempat (baca : negara Islam pertama) dengan kenaikan yang paling tinggi.

Allahuakbar! Moga pengunjungnya bukanlah dari kalangan orang Islam kita. Harapnya lah..

*husnuzon 

All right, let’s back on track! Di manakah kita tadi? 
Okay ingat dah. Hahaha..

Waktu-waktu berkurung seperti ini amatlah sesuai untuk kita perbaiki diri kita, baik untuk menjadi muslim yang lebih baik mahupun sebagai persiapan menjadi umat akhir zaman. Dari tak biasa membaca Al-Quran, kepada lazim membaca Al-Quran. Dari tak selalu puasa, kepada puasa sunat Isnin Khamis. Dari selalu bangun dah Subuh, kepada bangun untuk tahajjud. Apa-apa sajalah, asalkan yang menjadikan kita lebih baik daripada yang sebelumnya. Lagipun, Ramadhan semakin hampir, bukan? Ini boleh menjadi latihan kita untuk menjalani bulan mulia nanti. 

Let’s not take this for granted. Let’s not see this as some natural phenomenon of earth. Mesti ada sebab kenapa Allah SWT izinkan semua ini untuk berlaku. Dan sebagai muslim, selayaknya kita menjadikan semua perkara yang berlaku ini menjadi perkara yang baik dan positif, bukan sia-sia semata.

Rasulullah SAW bersabda: 
"Sungguh ajaib keadaan orang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiada yang memperoleh keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu, dia bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya."
(HR Muslim)

Hadis ini lebih sesuai digunakan apabila seseorang menghadapi ujian. But yeah, sesuai je kalau kita nak ambil iktibar, bukan? Kerana hakikatnya orang beriman akan menjadikan semua urusannya kepada perkara yang baik.

THE BIGGEST MAIN POINT

Haaa ni point paling penting sebenarnya. Macam tujuan entri kali ini dikongsi la (cehh ye ye je tuu.. padahal dekat atas tu boleh tahan banyak dah yang nak disampaikan.)

Bukanlah saya mengharapkan selepas membaca entri ini, kalian terus berteleku di atas sejadah 24 jam, sampai dahi terus bertanda hitam, ataupun memakai niqab walaupun berada di dalam rumah, ataupun terus berbahasa Arab apabila bersembang dengan keluarga (okay ni over ya anak-anak.. tapi kalau betul pun apa salahnya kan? Hahahah gurau, gurau..)

Tapi, saya amat mengharapkan entri kali ini memberi pencerahan kepada kalian untuk kita sama-sama sematkan dalam diri untuk menjadi yang lebih baik, tidak memandang perkara yang berlaku ini sebagai sesuatu yang hanya kebetulan, seterusnya hanyut dalam dunia yang disangka selama-lamanya. 

Kalian jangan salah faham, menyangka saya mahu mengaitkan semua ini dengan DJ. Tetapi, ini hanyalah peluang yang saya mahu gunakan untuk mengingatkan kita semua betapa kita berada di penghujung, dan dengan waktu yang hujung-hujung ini, amatlah tidak patut sekiranya kita tidak membuat apa-apa persediaan, menjalani kehidupan seperti robot, serta tidak menyedari bahawa kitalah umat akhir zaman.

Saya bersyukur kerana Ayah sentiasa mengingatkan kami dengan perkara-perkara sebegini (cuma kami anak-anak yang agak degil hahaha), dan semestinya entri kali ini adalah berinspirasikan pesanan Ayah. Dan tidaklah mahu saya simpan untuk kami-kami sahaja, sedangkan amat baik sekiranya saya kongsikan dengan semua sahabat yang saya kasihi lillahi taala ini. 

Terserah kepada kalian, bagaimana penerimaan dan respon kalian untuk entri kali ini. Hakikatnya, saya juga masih bertarung untuk memperbaiki diri sendiri. Dan semestinya entri ini merupakan teguran buat diri saya sendiri khususnya.

Saya doakan agar kita semua dihindarkan daripada perkara yang tidak diingini, diberi petunjuk oleh Yang Hakiki, dibuka minda dan hati, dan mendapat pengakhiran di syurga Firdausi!

Sampai di sini sahaja. Salam ‘alaik, geng!

P/S : duduk rumah tu diam-diam ye. Kalau degil, karang mak piat telinga tu, baru tau.