Salam 'alaik, geng!
Sihatkah anda semua? Saya? Alhamdulillah dengan hadirnya surat ini kepada anda, itu bermakna saya berada dalam keadaan sihat wal 'afiat, begitu juga dengan burung-burung merpati si penghantar surat yang semkain montok. Dan itu juga merupakan faktor kenapa surat ini sangat lambat untuk dihantarkan kepada anda semua hehehe..
Kali ini, saya terasa ingin berkongsi satu cerita yang saya dengar daripada Mufti Menk (errr ada sesiapa ke yang tidak mengenali insan hebat ini? Kalau tidak, sudilah kiranya anda stalk beliau!) Saya sangat mengagumi Mufti Menk, di samping kerana kehebatan beliau dalam menyebarkan dakwah dan peribadi murni yang menghiasi dirinya, Mufti Menk adalah sangat comel kerana memakai pendakap gigi. Ehh.. Gurau, gurau.. (tapi betul je sebenarnya, comel tauu) Saya suka cara Mufti Menk berbicara, jelas dan mudah difahami, ditambah juga dengan nada suara beliau yang bermacam intonasi.
Baik, baik. Kembali ke topik asal.
Ehem, ehem. Baiklah, ceritanya begini.
*Cuba memukau anda supaya membayangkan apa yang bakal saya ceritakan*
(gambar hiasan)
$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$
Ramai orang di tempat itu. Manusia berjalan ke hulu dan ke hilir mengikut arah destinasi masing-masing, entah ke mana yang ingin mereka tuju. Yang pasti, semua kelihatan sibuk dengan tujuan mereka berada di situ. Tetapi tidak untuk seorang lelaki ini. Walaupun dia juga mempunyai tujuan berada di situ, tetapi dia tidak seperti yang lain. Manusia yang lain berjalan dengan laju bagi mempercepatkan urusan mereka, tetapi lelaki tadi hanya berjalan dengan perlahan-lahan sambil memerhatikan orang sekeliling. Orang lain kebanyakannya membawa beg bagasi bersama mereka, manakala dia hanya membawa sebuah beg kecil yang berisi barang yang diperlukan yang jelasnya tidaklah banyak. Entah apalah yang diisi di dalam beg itu, hairan pula saya.
Dalam kesibukan manusia pada saat itu, dia sempat menjeling ke arah luar bangunan tersebut. Kelihatan sebuah kapal terbang baru sahaja mendarat di situ. Terus senyumannya terukir di bibir yang tidak berapa merah. Dia tahu, tujuannya berada di situ dapat diselesaikan dengan turunnya manusia daripada kapal terbang tersebut.
Dia terus menunggu sehinggalah dia terlihat manusia yang ramai keluar daripada pintu keluar penumpang kapal terbang. Namun, ada sepasang suami isteri yang menarik minatnya untuk mendekati. Sambil membetulkan pakaiannya agar kelihatan kemas, dia segera mengorak langkahnya mendekati pasangan merpati sejoli itu. Langkahnya yakin, kerana dia tidak sabar hendak menunaikan hajatnya berada di situ.
"Errr, hai encik yang kacak dan puan yang jelita. Boleh saya pinjam sedikit masa encik?" lelaki tersebut memulakan perbualan, sambil berjalan seiringan dengan pasangan suami isteri tersebut. Pasangan itu memandang ke arah suara yang menyapa mereka, namun tetap meneruskan langkahan walaupun sedikit diperlahankan. Melihat perhatian yang dialihkan kepadanya, lelaki tersebut meneruskan percakapannya.
"Biar saya kenalkan diri saya dahulu. Saya bukanlah seorang yang terkenal dan popular, tetapi saya mempunyai kelebihan yang tiada pada orang lain. Saya boleh menilik nasib encik, meramal apa yang akan berlaku kepada encik pada masa akan datang. Hebat, bukan? Hehehe.. Encik berminat?"
Encik Suami itu mengukirkan senyuman, kemudian menjawab, "Ehh, tidak mengapa. Saya tidak mahu tahu masa depan saya." Mereka meneruskan langkah, namun semangat lelaki tadi nampaknya tidak mudah dipatahkan. Dia tetap mengekori pasangan tadi. Boleh kita lihat sebenarnya dia sangat-sangat mahukan wang. Mungkin la, kalau tidak, manakan dia sanggup mengikut mereka sampai begitu sekali.
"Betul, encik. Saya memang boleh meramal masa depan encik. Dan saya yakin ini akan membantu encik nanti. Saya tidak minta banyak pun, encik. Hanya 5$ sahaja." Lelaki itu berkata sambil menunjukkan reaksi yang meyakinkan dan kesungguhan yang tinggi. Kalau boleh gunakan emoji, sudah lama muncul bentuk bintang pada matanya. Ehh..
"Takpe, encik. Saya betul-betul tidak berminat ingin mengetahui masa depan saya." Encik Suami dan Puan Isteri segera beredar daripada diekori lelaki penilik itu. Mereka kemudian bergerak ke arah tempat duduk yang ada di situ. Ingin melepaskan lelah la katakan.. Setelah penat menempuh perjalanan yang jauh, kini ditambah pula penat hendak melayan si penilik ni pula. Fuhhh..
Fikir mereka si penilik tadi sudah tidak mengekori mereka, rupa-rupanya dia juga turut duduk bersama mereka. Ehhh nak lepaskan penat juga ke?
Si Penilik merenung tajam Encik Suami, sambil tangannya diletakkan di dagu, menunjukkan dirinya sedang berfikir ketika itu, err atau boleh kita katakan sedang menilik(?) Haaa sudahh.
"Saya dapat lihat nanti encik akan (anda boleh menggunakan kreativiti imaginasi anda untuk meramal apa-apa yang anda mahu mengikut apa yang anda sukai kerana saya tiada idea untuk menceritakan apa yang diramal oleh Si Penilik). Dan encik juga akan (okay boleh sambung berimaginasi lagi...). Namun encik akan mengalami (haaa yang ini bayangkan la sesuatu yang buruk sikit, bagi secukup rasa sikit ramalannya). Tapi jangan risau, encik boleh (hmmm ceritalah apa-apa yang boleh Encik Suami buat untuk mengelak daripada malapetaka tadi).
Baik, encik boleh berikan saya 5$ atas ramalan saya tadi." kata Si Penilik, kemudian melepaskan lelahnya kerana bercakap terlalu panjang tadi. Korang la ni, bayangkan macam-macam benda. Kan dah penat orang tu hahaha..
Pasangan suami isteri itu tercengang mendengar apa yang baru disebut oleh Si Penilik tadi. Bukan terkejut mendengar apa yang akan berlaku kepada mereka nanti (ish, ishh), tetapi kerana kedegilan Si Penilik tak bertauliah ni untuk menceritakan juga apa yang mereka sendiri tidak mahu tahu. Siap minta bayaran lagi eh ehhh.
Dan......tibalah masanya untuk beraksi!
"Bagaimana kamu mengatakan kamu seorang peramal sedangkan kamu sendiri tidak dapat meramal bahawa saya memang tidak akan memberikan 5$ kepada kamu? Kamu sememangnya bukan seorang yang mampu membaca masa depan!" Yesssss! Hahaha jawapan ni memang menang! Ehh maaf, maaf. Teremosi pula.
Dan itulah yang dibalas oleh Encik Suami untuk mendiamkan Si Peramal, sekali gus membawa maksud bahawa dia benar-benar tidak berminat ingin mengetahui masa depannya. Oh ya, dan dia benar-benar tidak mahu membayar 5$ kepada lelaki itu. Lebih baik beli aiskrim, kan?
Okay, sampai sini sahaja yang diceritakan oleh Mufti Menk.
$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$$
*petik jari untuk kembali ke dunia realiti*
Fortune teller atau "penilik nasib" dalam bahasa Melayunya adalah seorang peramal masa depan. Eh silap, seorang MANUSIA yang meramal masa depan. Mereka boleh mejangkakan sesuatu yang belum berlaku, mereka boleh mengetahui jangka hayat seseorang, mereka boleh mengetahui baik buruk yang akan dihadapi oleh seseorang. Hebat, bukan? Bukan calang-calang orang ni..
Tapi, betulkah dia benar-benar seorang yang hebat? Benarkah dia boleh meramal masa depan, tanpa bantuan sesiapa? Bolehkah kita mempercayai apa yang diramalkan? Adakah ini termasuk dalam perbuatan syirik? Dan adakah ini saja bentuk ramalan yang boleh berlaku, atau mereka boleh meramal banyak benda lagi?
Soalan tanpa jawapan ke ni? Hahahaha..
Hmmm adakah anda dapat melihat moral daripada cerita ini? Mustahil tidak.. Anda semua kan bijak bestari idaman hati hehehe.
Sudikah sekiranya saya meminta bantuan anda untuk menyatakan ibrah yang anda dapat daripada daripada cerita pendek tadi, atau apa-apa sahaja komentar yang anda ingin perkatakan kepada saya.? Anda boleh berbuat demikian dengan membalas surat saya ini (errr atau boleh kita faham dengan taip di ruangan "Comment" di bawah). Kalau sudi laa, kalau tak sudi tidak mengapa. Biar saya bertepuk sebelah tangan sahaja cehhh..
Saya kira setakat ini sahaja surat saya kali ini. Maaf atas salah silap tutur kata sama ada secara sedar atau tidak. Sehingga kita berjumpa lagi.
Salam 'alaik, kawan!
P/s : cerita di atas dipetik daripada ceramah Mufti Menk bagi jalan ceritanya, tetapi dtambah serbuk ayam jenama Nooor bagi menghasilkan rasa yang lebih umphhh pada penceritaan yang lebih terperinci.
Rujukan :
Mufti Menk - Lessons from Surah Al-Ikhlaas
